Penipuan di media sosial berleluasa semasa PKP

 

PETALING JAYA: Dengan ancaman Covid 19 berterusan, Elaine (bukan nama sebenar) menggunakan khidmat membeli belah atas talian untuk barangan keperluan.

Semuanya dibuat dalam keselesaan di kediamannya.

Bagaimanapun pembelian terbarunya daripada sebuah laman Facebook yang mendakwa menjual makanan laut mengakibatkan Elaine kehilangan hampir RM300 apabila “si penjual” memutuskan hubungan setelah beliau membuat pembayaran menerusi pemindahan wang ke nombor akaun bank yang diberi.

“Bila PKP dikuatkuasakan, saya cuba tidak keluar rumah. Laman itu menawarkan penghantaran dan harga yang murah. Jadi ia pilihan yang menyenangkan,” kata Elaine kepada FMT.

“Setelah saya hantar resit pembayaran mereka kata akan buat pembungkusan dan beri ‘tracking number’ atau nombor pengesanan, tetapi nombor telefon saya disekat sehari kemudian,” kata Elaine .

Menyedari beliau menjadi mangsa penipuan atau scam, Elaine membuat aduan ke stor di laman Facebook itu dan juga memberi amaran kepada pelanggan lain.

Bagaimanapun komennya dipadam oleh pengendali atau “administrator”.

“Saya belum buat laporan polis, tetapi tentu ramai orang yang menjadi mangsa penipuan ini.

“Mungkin bagi mereka hilang beberapa ratus ringgit tidak berbaloi dengan kerumitan yang timbul dengan membuat laporan dan sebagainya.

“Tetapi Tahun Baru Cina menjelang tiba dan tentu ramai lagi orang yang akan menjadi mangsa”, katanya.

Seorang lagi mangsa penipuan di media sosial yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu FMT bahawa beliau mula tahu mengenai perniagaan makanan laut atas talian itu menerusi iklan yang disiarkan di Facebook.

Beliau kerugian RM100 dan pada masa akan datang akan membeli hanya daripada penjual yang dikenali. .

Katanya beliau percaya, ada beberapa syarikat di Facebook yang menggunakan nama yang berlainan tetapi mempunyai akaun bank yang sama.

“Saya selalunya tidak periksa dan tidak berasa curiga sebab sudah biasa membuat pembelian atas talian,” katanya.

FMT tidak mendedahkan nama kedua-dua laman Facebook terbabit sementara menunggu komen pihak pengendalinya.

Paul Selva Raj, ketua pegawai eksekutif Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan Malaysia berkata, ramai yang kini menggunakan media sosial untuk menjual produk, terutama golongan yang hilang pekerjaan semasa wabak Covid-19.

“Tidak dinafikan ada orang yang menggunakan media sosial untuk mencari rezeki secara sah, tetapi pengguna mesti berhati hati kerana risiko ditipu tetap ada bukan sahaja untuk membeli makanan laut, tetapi juga produk lain,” katanya.

Paul menggesa mereka yang tertipu membuat aduan polis supaya pihak berkuasa mendapat maklumat akaun bank yang digunakan oleh sindiket atas talian terbabit.

Mereka juga boleh memeriksa akaun “pembawa” di laman Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sementara itu presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader berkata, memang sukar bagi pihak berkuasa mengesan penipuan atas talian memandang kepantasan kaedah yang digunakan.

“Amat susah untuk mengawal perniagaan atas talian. Laman berdaftar pun orang boleh terpedaya dengan membeli barangan berkualiti rendah,” katanya.

Menurut Mohideen pengguna boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun prosesnya mengambil masa yang lama.

Katanya adalahh lebih baik pengguna memahirkan diri dalam teknologi sebagai langkah jangka panjang.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker