Apalah Nasib Mak Cik Kiah?



Sebaran :


TAHUN 2020 kerajaan memperuntukan sebanyak RM250 bilion bagi membantu kesinambungan rakyat dan para peniaga kecil meneruskan kelansungan hidup mereka didalam pelbagai bantuan, peruntukan dan penangguhan bayaran disediakan.

Mak cik Kiah seorang penjual goreng pisang menetap di PPR dan suaminya adalah pesara menjadi pemandu Grab. Anaknya pula, peminjam PTPTN. Jika ini adalah situasi anda, keluarga anda telah mendapat bantuan sebanyak RM8,664. Namun, dilihat dari sudut miskin bandar, berapa ramai kah daripada kita merupakan persara dan mempunyai anak yang berumur 18 tahun ke atas?Sebahagian besar daripada populasi penduduk bandar adalah mereka yang baru memulakan keluarga dan didalam fasa membesarkan anak-anak berumur 18 tahun kebawah.

Maka dengan itu, apakah bentuk bantuan yang mereka terima daripada Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin ini? Mungkin Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Sara Hidup (BSH), Penjimatan Bil Elektrik dan penangguhan bayaran kereta atau rumah. Jika ini adalah situasi anda diluar sana, anda hanya mendapat manfaat sekitar RM4,120 sahaja.



Sedangkan golongan ini memerlukan lebih bantuan kerana pendapatan mereka terjejas tetapi dalam masa yang sama, mereka perlu berbelanja lebih kerana anak-anak masih membesar dan bersekolah. Di dalam situasi ini, adakah kerajaan telah memastikan bantuan yang diperlukan sampai kepada mereka yang memerlukan?

Kemudiannya pada November 2020 kerajaan umumkan bajet 2021 yang rakyat dengan harapan membawa sinar kepada mereka. Apa agaknya Mak Cik Kiah akan dapat kali ini?

Nampaknya yang tinggal untuk Mak Cik Kiah hanyalah bantuan one-off BPN dan BSH. Bantuan keseluruhan isi rumah Mak Cik Kiah kini hanya tinggal RM1,100 sahaja. Bagaimana pula dengan mereka yang makan gaji dan menerima potongan gaji? Mereka hanya menerima BPN dan BSH sahaja. Paling banyak yang anda boleh dapat hanyalah RM3,600 jika pendapatan isi rumah anda adalah kurang daripada RM2,500.



Jika diteliti Bajet 2021, kebanyakkan bantuan diberikan adalah dalam bentuk pinjaman kewangan. Untuk menabur garam di luka, pinjaman kewangan ini adalah pinjaman bagi memulakan perniagaan atau bagi membantu perniagaan sedia ada. Hal ini menyebakan rakyat yang mengharapakan bantuan benar-benar kecewa.

Oleh kerana itu rakyat mendesak pengeluaran KWSP Akaun 1. Sebaiknya pengeluaran adalah untuk semua. Akan tetapi kerajaan menyatakan ianya adalah secara bersasar. Satu lagi kekecewaan kepada rakyat.

PERMAI



Permai seterusnya diumumkan beberapa hari yang lalu. Kebanyakkan bantuan semasa pengumuman Permai adalah perkara-perkara yang telah diumumkan terdahulu dalam bajet 2021. Bantuan tambahan yang membantu rakyat hanyalah program bakul makanan 500,000 unit bernilai RM100, bayaran one-off kepada pemandu e-hailing, bas dan teksi dan penurunan bil Elektrik 9%.

Bantuan program bakul makanan RM100 hanya mampu menampung perbelanjaan bagi keluarga kecil 2 orang anak selama 3 minggu. Selepas itu bagaimana keluarga ini hendak meneruskan kelansungan hidup mereka? Bantuan bayaran one-off kepada pemandu e-hailing RM500. Berapa lamakah RM500 boleh bertahan di ibu kota ini?

Selain kelansungan hidup di ibu kota, bagaimana pula dengan isu pembelajaran online? Sebagai contoh mereka yang mempunyai 3 anak bersekolah. Saya percaya paling minimum satu rumah di bandar mempunyai 1 laptop. Akan tetapi yang lagi 2 bagaimana hendak menghadiri sesi persekolahan? Belum lagi bercerita tentang mereka yang tiada laptop lansung, adakah anak-anak ini akan tercicir?



Pada pendapat saya, tahun ini bukan lah tahun untuk kita membangunkan projek-projek yang mungkin boleh ditangguhkan dan tidak berapa penting. Eloklah wang itu digunakan untuk menggerakkan ekonomi negara dan membantu rakyat. Perlunya kementrian-kementrian yang berkaitan untuk mula mengenalpasti industri-industri yang mampu bergerak dimasa pandemik COVID ini dan padankan peluang perniagaan tersebut kepada mereka yang memerlukan pendapatan. Seterusnya didiklah rakyat dengan ilmu perniagaan agar mereka mampu membangunkan perniagaan tersebut dan secara tidak lansung menggerakkan ekonomi negara.

Pelan jangkamasa pendek kerajaan pada masa ini sepatutnya lebih fokus kepada menggerakkan pasaran pengguna. Pasaran pengguna adalah tunggak ekonomi. Berikan bantuan kepada rakyat, perkukuhkan kewangan rakyat dan aliran tunai mereka, secara tidak langsung keboleh upayaan mereka untuk berbelanja akan memastikan gerai-gerai kecil, restoran dan perniagaan-perniagaan lain untuk terus hidup yang kemudiannya secara tidak lansung memberi peluang pekerjaan kepada yang lain.

Ekonomi adalah satu kitaran yang mana perlunya suntikan kerajaan didalam kitaran ini bagi menggerakkannya. Saya mungkin bukan seorang pakar ekonomi, tapi harapan saya agar kerajaan memandang serius akan keadaan ekonomi rakyat, kesusahan dan beban yang ditanggung rakyat kerana tanpa rakyat, keseluruhan negara akan runtuh. MG



Fatin Fariza Abdul Halim
Naib Ketua Pemuda Ikatan


Sebaran :


Leave a Reply