Makcik Kiah paling tertekan, kata bekas penasihat ekonomi Mahathir

Khazanah Research Institute Economist Dr Muhammed Abdul Khalid
Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid menyifatkan Belanjawan 2021 tidak mencukupi untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau B40.

Bekas penasihat ekonomi kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, peniaga kecil seperti Makcik Kiah paling tertekan kerana tiada bantuan khusus untuk golongan terbabit.

“Untuk golongan makcik Kiah yang paling tertekan iaitu mereka yang berkerja dalam sektor tidak formal seperti bekerja sendiri dan menjual nasi lemak.

“Dulu ada Geran Prihatin Nasional RM3,000. Tapi kajian yang kita buat dengan PBB daripada 100 Makcik Kiah, hanya tiga yang memohon kerana ramai tidak faham.



“Untuk tahun depan tidak ada lagi bantuan untuk Makcik Kiah walaupun mereka golongan paling tertekan. Tidak ada bantuan baru untuk Makcik Kiah.

“Orang susah hanya dapat one-off bantuan manakala Makcik Kiah tidak dapat apa,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara menerusi FB Live Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) malam tadi.

Dr Muhammed yang juga pengarang buku, “Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia” menegaskan Belanjawan 2021 juga sedikit tersasar ketika ramai rakyat sudah sedia hidup susah sebelum pandemik Covid-19.



“Setiap tahun belanjawan makin membesar dan ekonomi makin berkembang. Persoalannya, adakah belanjawan yang dibentangkan itu dapat mencapai dua matlamat iaitu menyelamatkan nyawa dan melindungi kesejahteraan rakyat?

“Berdasarkan analisa saya, ianya tidak mencukupi malah ada sedikit tersasar. Sebelum Covid-19, rakyat sudah susah.

“Kadar kemiskinan di Malaysia lebih kurang lima peratus tetapi di sesetengah negeri lebih tinggi.

“Di Sabah, 20 peratus kadar kemiskinan mutlak. Di Pitas, kawasan yang seorang penuntut terpaksa panjat pokok untuk dapatkan talian internet, kadar kemiskinan di sana mencecah 50 peratus,” dedahnya.



Tiada bantuan khusus kepada peniaga kecil yang digelar Makcik Kiah oleh Muhyiddin walaupun mereka segmen paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bekas Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu menjelaskan kadar kemiskinan relatif antara 2016 dan 2019 juga semakin meningkat walaupun berlaku perkembangan ekonomi.

“Ini sebelum munculnya Covid-19, kadar kemiskinan sudah ada. Malah, yang tidak miskin juga mudah jatuh miskin.

“Selepas krisis, semakin teruk golongan B40 terutamanya ibu tunggal dan OKU (Orang Kelainan Upaya). Adakah bantuan diberikan secukupnya kepada mereka?



“Nampaknya tidak mencukupi. Golongan B40 kerajaan hanya beri BPN (Bantuan Prihatin Nasional) 2.0 berjumlah RM1,000,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kira-kira separuh daripada 17 juta pekerja di negara ini tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta realiti masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Yang ada caruman KWSP pun, 54 peratus daripadanya ada simpanan kurang RM50,000. Ini sebelum krisis (Covid-19).

“Sebelum krisis juga kemiskinan kanak-kanak iaitu kadar zat mereka tidak cukup seperti seperti di Kelantan dan Terengganu.



“Malah, kalau kita bandingkan negara yang dilanda perang dan jauh lebih miskin daripada kita seperti Palestin dan Ghana, kanak-kanak kita lagi teruk daripada mereka.

“Satu pertiga kanak-kanak kita tidak cukup tinggi atau terbantut yang mempengaruhi perkembangan otak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammed juga berpendapat pelaksanaan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan wajar diperluas kepada bidang lain.

“Sepatutnya lebih melebar. Kalau orang dan syarikat tidak berbelanja dengan ekonomi kita yang bergantung pada domestik, bagaimana ekonomi boleh berkembang.



“Syarikat yang tidak dapat untung, bagaimana hendak bayar cukai?” soalnya lagi.

Untuk rekod, Menteri Kewangan berkata Program Subsidi Upah itu dilanjutkan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji 4,000 ringgit dan ke bawah selain had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebanyak RM1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi program tersebut dalam Belanjawan 2021 yang dijangka membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja. MD

‘Cik Kiah’, ular sawa batik tujuh meter yang jinak

Related Articles

One Comment

  1. Tiada bantuan khusus untuk MakCik Kiah sebenarnya, sebab dah dapat bantuan RM1,000 dan hari itu pun dah dapat RM1,600. Kalau nak bantuan khusus, terpaksalah MakCik Kiah buka kedai nasi lemak dan mohon lesen pula, tak dapatlah meniaga kat tepi jalan lagi.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker