Cara Muhyiddin tadbir negara ada ciri-ciri diktator, dakwa Khalid Samad


Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendakwa cara Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mentadbir negara mempunyai ciri-ciri diktator.

Beliau berkata, satu daripada ciri itu ialah tiada lagi semak dan imbang, apabila Parlimen digantung susulan perisytiharan darurat.

“Istilah diktator kalau nak secara tepat ialah berhubung seseorang yang mempunyai kuasa mutlak.

“Apabila mempunyai kuasa mutlak, terpulang kepada dia untuk bertindak secara keras atau dilihat secara mesra macam ‘abah kau’,” katanya merujuk Muhyiddin yang pernah membahasakan dirinya sebagai “abah”.



Beliau berkata demikian dalam dialog bertajuk “Muhyiddin seorang diktator?” yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan untuk darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikurangkan dengan berkesan.

Ia disusuli Muhyiddin memberi jaminan darurat bukan rampasan kuasa dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan, tetapi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan tamat.

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam membidas tindakan Muhyiddin memberi peruntukan membina tiga dewan di Johor ketika rakyat berdepan Covid-19.



Katanya, salah satu ciri diktator ialah pemimpin itu boleh memberikan projek tanpa tender.

“Ini berlaku dalam isu dewan bernilai RM35 juta. Walaupun dikatakan untuk tiga dewan, tetapi dilakukan begitu singkat.

“Ramai berpandangan tidak mungkin dibuat secara tender terbuka.”

Berbeza dengan China, katanya, walaupun menggunakan sistem komunis, mereka membina hospital ketika Covid-19 melanda negara itu.



“Di Malaysia, dalam Covid-19, kita bina dewan dan tidak boleh pertikai.

“Semua dilakukan ikut suka mereka dan tidak boleh ada suara pertikai dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.”

Pada 16 Jan lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata, peruntukan RM35.43 juta diluluskan untuk membina tiga dewan orang ramai di Tangkak dan Muar, selepas sepucuk surat tular di media sosial.

Ia terdiri daripada Dewan Gersik di Tangkak yang bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir di Muar berharga RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong di Muar berjumlah RM5.77 juta. FMT



Mahathir dakwa Muhyiddin diktator

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker