4 beradik ditahan larikan jenazah bapa dari hospital


LAHAD DATU: Polis menahan empat beradik kerana melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu semalam.

Mereka yang berusia 26 hingga 31 tahun itu dipercayai berbuat demikian kerana enggan membenarkan pihak hospital menggunakan SOP pengurusan Covid-19 terhadap jenazah bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, sebelum meninggal dunia, bapa empat beradik itu yang berusia 58 tahun dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori pesakit dalam siasatan (PUI).

Katanya, rekod kesihatan lelaki itu menunjukkan beliau mempunyai sejarah sakit mental dan diserang angin ahmar.

“Ketika di hospital, pasukan perubatan sempat memberikan pertolongan cemas pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun beliau disahkan meninggal dunia.

“Petugas perubatan kemudian memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis Covid-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, jenazah juga perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehingga keputusan ujian Covid-19 diterima.

Bagaimanapun katanya, waris enggan meninggalkan jenazah di hospital dan terus menolak jenazah keluar daripada khemah zon PUI untuk dibawa pulang ke rumah.

Rohan berkata, sepasukan polis menyerbu rumah keluarga itu di Kampung Panji, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki.

“Jenazah berkenaan turut ditemui pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan.”

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. FMT

Leave a Reply