Peragut rantai emas diberkas tidak sampai 24 jam


SEBERANG PERAI – Dua penyamun yang meragut rantai leher seorang lelaki yang menunggang motosikal di Jalan Besar Permatang Tinggi, Bukit Mertajam di sini diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan kegiatan itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, hasil risikan Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, dua suspek berusia 25 tahun itu berjaya diberkas di Bukit Mertajam petang tadi.

“Salah seorang suspek mempunyai 16 rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah dan dadah serta dia juga baru bebas dari penjara kerana kesalahan narkotik.

“Polis turut menemui semula seutas rantai leher berwarna kekuningan dipercayai milik mangsa ragut pagi tadi selain merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna hitam,” katanya kepada pemberita hari ini.



Shafee berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 31 tahun yang mendakwa kerugian kira-kira RM3,000 selepas rantai emas miliknya diragut oleh suspek bermotosikal kira-kira pukul 9.55 pagi tadi.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang bersendirian sebelum dihampiri dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Penunggang telah menarik rantai leher bersama loket milik mangsa sebelum melarikan diri dan mangsa cuba mengejar, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. K Online



Penjenayah selamba rentap rantai emas, tumbuk wanita

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker