Isteri, anak Nazri pula positif Covid-19
Sehari selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dirawat di hospital di Kota Bharu kerana disahkan positif Covid-19, kini isteri dan anaknya turut terkena wabak itu.
Datin Seri Haflin Saiful dan anaknya berusia empat tahun bersama seorang pembantu rumah disahkan positif Covid-19 semalam dan kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya di Bachok, Kelantan.
Menurutnya, hasil keputusan ujian saringan yang dilakukan, doktor mengesahkan mereka bertiga dijangkiti Covid-19 tahap 1 dan diarahkan kuarantin selama 10 hari bermula petang semalam.
“Kami dalam keadaan baik, begitu juga anak, setakat ini tidak ada tanda demam atau batuk. Saya berikan vitamin, minum banyak air dan buah-buahan,” katanya yang dipetik dari Mstar, hari ini.
Semalam, Nazri mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas kontak rapat dengan blogger Zaharin Mohd Yasin pada sidang medianya di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur minggu lalu.
Beliau membuat ujian saringan ketika berada di kediamannya di Bachok, selepas dimaklumkan Zahari positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital di ibu kota Kuala Lumpur.
Turut dijangkiti wabak itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga bersamanya pada sidang media berkenaan.
Nazri kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. MG
You must be logged in to post a comment.