Lelaki cuba selamatkan teman wanita ditemukan mati lemas
Kuching: Lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Sarawak ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya yang terjun ke dalam sungai itu Khamis lalu, ditemukan mati lemas, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, mayat Awangku Sahiful Awangku Sazali, 33, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.05 tengah hari tadi.
“Mayat disahkan oleh keluarganya dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari Khamis lalu, mangsa dihanyut arus deras ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya, yang terjun ke Sungai Sarawak berhampiran Medan Selera Kubah Ria.
Wanita berusia 27 tahun itu berjaya diselamatkan oleh pekerja tongkang yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Sementara itu, berdasarkan keterangan saksi, berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit sebelum wanita itu terjun ke dalam sungai.-HM
You must be logged in to post a comment.