Gesa adakan PRU tapi siapa calon PM dari UMNO



Sebaran :


Sebarang desakan oleh UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum adalah tidak munasabah jika Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak mencalonkan Presiden UMNO sebagai calon perdana menteri.

Ini kerana, secara tradisinya, jika UMNO perlu ke PRU, presiden parti adalah calon perdana menteri.

Namun, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Hafiz Abd Rahman, setakat ini tiada satu pun dapatan kajian mahupun permintaan akar umbi yang ingin mengetengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri alternatif yang diyakini rakyat.



Beliau Biro Politik & Hal Ehwal Semasa Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KAGUM) menambah, UMNO juga tidak mengemukakan pelan alternatif pemulihan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Oleh itu, katanya, KAGUM mencadangkan agar MKT menghentikan sebarang perselisihan politik terbuka dan segera membentangkan pelan ekonomi yang jelas dan nyata pasca Covid-19.

MKT turut diminta menamakan nama calon perdana menteri atau timbalan perdana menteri dari UMNO bagi menjernihkan ketidaktentuan hala tuju parti.



Mohd Hafiz berkata, sewajarnya, tradisi presiden dilantik sebagai perdana menteri diubah sekiranya MKT berpandangan, tampuk kepimpinan sedia ada
UMNO tidak mempunyai keupayaan dan mampu diangkat bagi jawatan nombor satu dan nombor dua negara.

Beliau turut mencadangkan UMNO membawa lebih ramai muka baharu di dalam barisan saf kepimpinan UMNO sekiranya presiden mengambil keputusan demi parti, bangsa dan agama tercinta serta melepaskan peranan kepada mana mana kepimpinan yang difikirkan sesuai oleh MKT.

”UMNO perlu diberi nafas baharu dan ia tidak perlu tunggu sehingga musim pemilihan. Jika UMNO ingin kembali menjadi peneraju sesebuah kerajaan, kita perlu menamakan calon perdana menteri kita. Rakyat inginkan kepastian bukan kekeliruan” kata Mohd Hafiz.



Dalam pada itu, beliau berkata, penutupan kilang dan penghijrahan pelabur ke negara jiran serta keputusan PKP yang tidak disertakan insentif ekonomi bukti keutamaan kerajaan PN bukanlah kepentingan rakyat.

Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan apabila majoriti akar umbi UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. MG


Sebaran :


Leave a Reply