Peniaga unggas bantah peraturan MBPP guna peti sejuk beku

GEORGE TOWN: Peniaga unggas di pasar basah menjual daging segar kepada pelanggan mereka, justeru langkah memaksa penggunaan peti sejuk beku akan menjadikan mereka tidak berbeza daripada pasar raya besar.

Peniaga terbabit kini membantah keras “paksaan” Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya mereka menggunakan peti sejuk beku.

Timbalan Pengerusi Gabungan Peniaga-peniaga Ayam Pulau Pinang Muhd Shaffi Yacob memberitahu FMT semalam bahawa mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan MBPP pada Selasa.

Dalam kenyataan tersebut, MBPP berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk menghentikan penyembelihan ayam di pasar basah sejak 2006 bagi membendung penyakit berjangkit.

Menurut MBPP, pengedaran berpusat di Batu Lanchang dirancang untuk memudahkan pengedaran, dan pengurusannya diberikan kepada sebuah syarikat tempatan melalui tender terbuka.

Monopoli tersebut menimbulkan kemarahan peniaga.

Menurut Shaffi, kurang ketelusan di pihak MBPP berkenaan syarikat yang bertanggungjawab atas pengedaran menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan peniaga yang beragama Islam.

“Mereka (MBPP) kata ia syarikat tempatan, tetapi siapa mereka?” tanya Shaffi.

“Kerajaan mengambil masa 40 tahun untuk menemui ‘kartel daging’, jadi kami tidak mahu mengambil risiko.”

Beliau juga mempersoalkan langkah MBPP meneteapkan sebuah syarikat yang memonopoli pengedaran sedangkan terdapat ramai peniaga tempatan yang mampu berkongsi beban permintaan.

“Jika kebersihan benar-benar menjadi isu, maka bantulah peniaga sedia ada untuk mencapai penanda aras,” katanya.

MBPP dilaporkan berkata, peniaga boleh mendapatkan bekalan daripada sumber lain, selain menjelaskan bahawa sumber hanya perlu mendapat pensijilan Tanda Kesihatan Veterinar (VHM).

“Mereka kata kami hanya perlu VHM sekarang,” kata Shaffi.

“Tetapi sebelum ini, mereka beritahu bahawa kami memerlukan ketiga-tiga (pensijilan) daripada VHM, Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).”

Beliau juga menolak anggaran MBPP berhubung harga peti sejuk beku sesuai dalam kenyataan tersebut, iaitu RM3,000.

“RM3,000? Mereka beritahu kami harganya RM12,000 sebuah,” katanya.

Shaffi juga memberitahu FMT bahawa kekhuatiran persatuan ialah berkenaan kualiti dan kesahihan status unggas mereka.

“Pertama sekali, jika kami meletakkan unggas kami dalam peti sejuk beku, tiada bezalah antara kami dengan pasar raya besar,” katanya.

“Mengapa mereka (pelanggan) perlu beli daripada kami?”

Apabila ditanya mengenai tindakan persatuan seterusnya, Shaffi berkata, mereka akan terus memprotes peraturan tersebut.-FMT

https://mykmu.net/2017/07/31/anugerah-palsu-bukti-kegagalan-prinsip-cat-dap-pulau-pinang/

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker