Pelakon drama pendek di YouTube didakwa buat laporan palsu dia dirogol

Kota Bharu: Pelakon drama pendek di YouTube didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki dan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol, pada Disember lalu.

Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu merogolnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini jam 3 petang pada 19 Disember tahun lalu.

Nor Hafizah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Kubang Kerian jam 12.08 tengah malam pada 20 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Riduan dalam rayuannya meminta jaminan yang minimum kerana anak guamnya seorang suri rumah selain perlu menjaga empat anak berusia 10, lapan, tiga dan dua tahun.

“Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan. Situasi ini amat membebankan anak guam saya lebih-lebih lagi negara kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-HM

Kanak-Kanak 12 Tahun Dirogol 15 lelaki

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker