Mayat lelaki lemas mandi laut ditemui di pantai Teluk Batik
LUMUT: Mayat seorang lelaki yang lemas ketika mandi bersendirian di pantai Teluk Batik, dekat sini, awal pagi semalam ditemui terapung kira-kira 1.5 batu nautika daripada tempat dia dilaporkan hilang.
Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui kira-kira jam 3 petang ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.36 pagi semalam.
“Terdapat saksi yang menyatakan menjumpai mangsa sedang mandi di kawasan tersebut dan pusat kawalan bomba (PKB) dibuka dilokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan sekitar radius 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang menggunakan bot pelbagai agensi.
Di samping itu, katanya, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor turut membuat beberapa selaman di lokasi kejadian.
“Mangsa telah ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan berhampiran Jeti Pak Hassan Pulau Pangkor, kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan hilang,” ujarnya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Awani
Sawa batik 80kg berlingkar berhampiran premis cuci kenderaan
You must be logged in to post a comment.