[VIDEO] #JomTonton..2 Juta Tontonan #PAHLAWANKU

Sebaran :

SEBUT perkataan merdeka itu mudah, namun sejauh manakah kita memahami ertinya dan pengorbanan sudah dilakukan pejuang- pejuang terdahulu?

Jika diamati, terlalu besar pengorbanan sudah dicurahkan terutama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha mendapat kemerdekaan ini dan terus mempertahankannya.

Sehubungan itu, bagi menyuntik semangat patriotik untuk terus cintakan tanah air dan menghargai erti sebuah pengorbanan, DRB-HICOM dan Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) bekerjasama menghasilkan video pendek berjudul #PAHLAWANKU.

Video berdurasi tiga minit dan 16 saat ini padat dengan mesej pengorbanan untuk mempertahankan keamanan tanah air dilakukan ATM sejak dahulu lagi.

Paparan kisah seorang datuk yang juga bekas tentera dengan cucunya bercerita pengalaman lalu terhadap pengorbanan pada negara cukup menyentuh jiwa dan meninggal kesan mendalam.

Cucu yang bercita-cita menjadi tentera apabila dewasa sangat terkesan dengan cerita datuknya berserta melihat juga bukti ‘pengorbanan’ itu yang mana ada kesan parut peluru di perut datuknya yang dianggap perwira sejati.

Jalan cerita ringkas dan padat itu mudah difahami penonton. Justeru, tidak hairanlah dalam tempoh sebulan video #PAHLAWANKU berjaya mencatat tontonan lebih dua juta di saluran YouTube DEFTECHDRB-HICOM Defence Technologies.

Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Abdul Razak berkata, objektif utama pembikinan video itu adalah mengetengahkan isu pengorbanan warga beruniform, terutama ATM yang selama ini bertungkus-lumus berkorban mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.

 

 

 

ANTARA babak dalam video pendek #PAHLAWANKU.
ANTARA babak dalam video pendek #PAHLAWANKU.

 

“Namun, dalam zaman moden dan serba aman ini didapati masih ada orang yang kurang faham mengenai kesusahan yang pernah dihadapi pejuang tentera dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

“Malah, selepas merdeka pula negara diancam komunis dan pasukan tentera yang berjuang berhabis-habisan untuk menentangnya bagi memastikan kemerdekaan negara ini terus kekal dan rakyat hidup dengan selamat. Keamanan yang negara kita peroleh hingga ke hari ini sukar dicapai sebenarnya, justeru penting untuk kita semua terutama generasi muda memeliharanya,” katanya.

Menurut Mahmood, kesedaran semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan generasi muda kini wajar dipupuk dari sekarang dan setiap masa supaya tidak terleka.

“Apatah lagi, untuk memastikan mereka memahami erti pengorbanan dilakukan ATM dalam usaha mempertahan keamanan, keselamatan dan keharmonian rakyat serta negara terus terjamin. Kita kena sentiasa ingat dan pegang dalam diri, bahawa keamanan tanah air yang dikecap ini takkan kekal kalau tak dijaga berteraskan semangat juang yang tinggi di hati,” katanya.

Mengulas kejayaan video #PAHLAWANKU, Mahmood berkata, ia suatu pencapaian tak diduga apabila jumlah tontonannya melonjak cepat dan video itu berjaya mendapat sambutan baik.

“Sebenarnya, terkejut juga apabila ramai menonton video ini hingga pernah tular. Bagi saya, jika 10 peratus daripada penonton sudah terkesan, alhamdulillah.

“Apatah lagi, mereka terus pula membuat sumbangan pada Tabung Pahlawan, bagi membantu lebih dari sejuta veteran tentera dan keluarga mereka. Begitu juga, menyuntik semangat anak muda menyertai ATM,” katanya.

Menurut Mahmood, dia amat berbesar hati sekiranya lebih ramai orang suka pada video #PAHLAWANKU itu serta membuat perkongsian mengenainya supaya kita sedar insan bergelar pejuang yang berkorban untuk negara wajar sentiasa dihargai.

VIDEO DIBAWAH:-

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=hbAIcBY1ID0[/embedyt]


Sebaran :

Leave a Reply