Kenyataan Rizman Berat Sebelah, Berbaur Peribadi – Natasha

Selepas beberapa hari berdiam diri dan mengunci mulut berkenaan kontroversi busana putih salju yang digayakan Selasa lalu, pelakon Natasha Hudson tampil bersuara dengan hujah tersendiri.

Menurut Natasha, kenyataan yang dikeluarkan pereka fesyen, Rizaman Ruzaini itu seolah-olah berat sebelah dan berbaur peribadi semata-mata.

“Mungkin kenyataan berkenaan dibuat kerana dia tidak tahu siapa pembeli busana tersebut pada awalnya.

“Atau mungkin juga kenyataan tersebut dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tetapi dalam apa sudut sekali pun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati mereka. Baju tersebut dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.

“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imej, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” katanya dalam satu kenyataan.

Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 39, menambah, dia benar-benar terkejut dengan reaksi dua pereka fesyen itu.

“Saya bukan tidak mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu.

“Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik kepada saya sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang disifatkan seperti menghentam.

“Saya berasakan komen mereka yang busana tersebut tidak sesuai untuk orang berhijab tidak tepat. Sedangkan kalau kita lihat di internet, busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan.

Nak cakap apa, lantaklah…- Natasha Hudson

“Apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” katanya.

Ibu tunggal tiga anak yang popular menerusi filem Chermin itu bagaimanapun mengakui khilafnya saat mengenakan busana berkenaan.

“Ikutkan busana yang saya sarung tempoh hari boleh saja digayakan sesiapa pun mengikut cita rasa dan olahan gaya masing-masing. Ya, saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya.

“Jujur saya tidak sangka akan mencetuskan kontroversi. Malah harus saya tegaskan juga ini bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk Crystal C White,” ujarnya yang dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Natasha juga berpandangan pereka fesyen itu harus memohon maaf kepada Nor Shahlina Abu yang merupakan rakan kongsi produk suplemen kesihatan Crystal C White.

Terdahulu, tindakan Natasha menggayakan pakaian yang seolah-olah menampakkan bahagian bahu ketika majlis pelancaran produk kecantikan berkenaan Selasa lalu heboh diperkatakan.

Bahkan, pakaian tersebut juga mempunyai belahan pada bahagian belakang sehingga menampakkan betisnya. -K! ONLINE

[VIDEO] Baju Dibeli Dengan Duit, Bukan Dir Liur – Penganjur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker