HSR: Malaysia dijangka terima pampasan akhir Januari

Share
Pampasan dari Singapura dijangka diterima akhir Januari.
Pampasan dari Singapura dijangka diterima akhir Januari.

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima tuntutan pampasan penamatan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dari Singapura dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata bagaimanapun jumlah tuntutan itu perlu disahkan dan dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Ketika ini kami masih menunggu Singapura menyerahkan tuntutan itu kepada kami. Sebaik saja ia dikemukakan, kami akan melaksanakan usaha wajar bagi memastikan tuntutan itu munasabah dan dapat disahkan,” katanya dalam taklimat media hari ini.

Pada awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia berpandangan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura susulan penamatan projek HSR adalah jauh lebih rendah daripada S$270 juta (kira-kira RM820.76 juta) yang dibelanjakan Singapura.

Mohd Nur Ismal mengulangi pampasan itu bukanlah denda, sebaliknya bertujuan membayar balik kepada Singapura kos projek yang dibelanjakan, namun tidak dapat digunakan.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan tidak komited atau memuktamadkan sebarang projek termasuk spekulasi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru bagi menggantikan HSR KL-Singapura.

“Kita memerlukan satu kajian teliti mengenai projek yang akan menggantikan HSR KL-Singapura yang boleh dilaksanakan sendiri,” katanya.

Beliau menambah, kajian itu dijangka bermula tidak lama lagi dan berharap dapat dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

“Ia bergantung kepada seberapa banyak kerja perlu dilakukan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk Malaysia dan Singapura mempunyai satu lagi projek seperti HSR pada masa akan datang berikutan pembatalan projek itu, Pengerusi MyHSR Corp Tan Sri Esa Mohamed berkata, Malaysia akan terus meninjau pilihan untuk meningkatkan kesalinghubungan HSR, termasuk Singapura menyertai semula HSR di masa akan datang.

“Perkara pada masa ini ditamatkan. Jadi, sekiranya ada sebarang projek pada masa akan datang, ia akan diletakkan di bawah perjanjian baharu,” kata Esa.

Pada 1 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember lalu.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dilaporkan berkata, penyingkiran Assets Company (AssetsCo) sebagai pembekal sistem dan operator rangkaian projek itu menjadi kebimbangan utama Singapura dalam perbincangan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia.

Sebelum ini, Mustapa dilaporkan berkata, kerajaan berupaya melakukan penjimatan jumlah jaminan kerajaan sehingga RM60 bilion dalam tempoh 30 tahun apabila tidak menggunakan perkhidmatan AssetsCo.

MyHSR Corp adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diperbadankan pada 2015 dan bertanggungjawab untuk pembangunan dan pelaksanaan projek itu. – BERNAMA

Leave a Reply