Ke mana hala tuju Umno sewaktu kes Covid-19 terus meningkat?

PETALING JAYA: Peningkatan kes Covid-19 mungkin memaksa Umno menangguhkan rancangan untuk keluar daripada gabungan kerajaan, tetapi akan membuat serangan balas, melainkan ia berjaya mengetuai kerajaan, kata penganalisis politik.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, Umno merancang sama ada keluar daripada kerajaan bagi memaksa pilihan raya diadakan atau merangka sesuatu dengan PPBM bagi membolehkannya mengetuai kerajaan.

“Mereka juga akan cuba berunding dengan PAS bagi memastikan parti Islam itu bersama-sama mereka apabila Parlimen dibubarkan,” kata Azmi.



Tiada kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu, katanya.

“Kebencian terhadap parti berteraskan orang Cina itu dalam kalangan ahli Umno amat mendalam. Namun ia mungkin boleh bekerjasama dengan PKR yang berbilang kaum. Akar umbi Umno masih boleh menerimanya,” katanya.

Azmi menjangka Umno akan memaksakan pilihan raya umum segera sekiranya kempen vaksinasi Covid-19 kebangsaan berjaya menyekat pandemik tersebut.

“Langkah Umno akan bergantung pada angka Covid-19,” tambahnya.



Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini memutuskan untuk membawa persoalan hubungan dengan PPBM ke perhimpunan agung tahunannya yang akan diadakan akhir bulan ini.

Azmi bagaimanapun berkata, akar umbi Umno yang sebelum ini mendesak kepimpinan parti itu supaya keluar kerajaan dan kemelut politik yang berlaku kini mungkin akan kembali tenang sekiranya Umno berada di kerusi pemandu.

“Ertinya PPBM harus memberi jalan kepada Umno.”

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu menunjukkan pendirian tegas bagi memastikan ahli parti itu bersatu semasa berlakunya kemelut kini.



Beliau berkata, Umno kini berpecah, sekali gus memaksa Zahid mengambil langkah tegas bagi mengekalkan kesatuan parti, dengan merujuk kepada pemecatan Annuar Musa sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

Katanya, PPBM tidak berkemampuan untuk “bertindak balas dengan keras” terhadap Umno kerana perpisahan akan melumpuhkan parti itu dari sudut politik kerana ia tidak mempunyai sokongan pengundi seperti yang dinikmati oleh Umno.

“PPBM ditinggalkan oleh kumpulan minoriti progresif yang masih kecewa atas tindakan parti itu “mengkhianati” Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton,” katanya, merujuk kepada kerjasama PPBM dengan PAS dan Umno dan beberapa parti lain yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan PH pada Feb tahun lepas.

Oh berkata, satu-satunya talian hayat yang dimiliki oleh PPBM ialah hubungannya dengan PAS.



“Tanpanya (PAS) pilihan PPBM sangat terhad dan ia terpaksa mengalah kepada Umno.”

PAS bagaimanapun lebih berkemungkinan akan bekerjasama dengan Umno apabila Parlimen dibubarkan kerana ia bakal menang lebih banyak kerusi melalui kerjasama itu, katanya.

Namun penganalsis politik Kenneth Cheng berkata, kerajaan mungkin tidak jatuh jika Umno menarik diri daripada menyokongnya.

“PH tumbang kerana perdana menteri (ketika itu Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan. Perdana menteri sekarang (Muhyiddin Yassin) mungkin tidak mahu berbuat demikian dan mempunyai pilihan untuk bekerjasama dengan parti lain bagi mencukupkan sokongan (bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat),” katanya kepada FMT.



Cheng, yang merupakan anggota Agora Society, sebuah rangkaian longgar intelektual berkata, Muhyiddin juga mempunyai pilihan untuk menasihati Agong berkait tarikh pilihan raya.

Beliau berkata, sasaran Umno untuk memaksakan pilihan raya menjelang Mac tahun ini mungkin terlalu idealistik kerana keadaan wabak Covid-19 yang masih buruk.

Malaysia mencatatkan angka jangkitan tertinggi semalam, iaitu sebanyak 3,025 kes.

“Walaupun keadaan politik kekal dinamik berikutan semakin jelasnya konflik antara Umno dan PPBM, tarikh pilihan raya juga bergantung pada angka kes Covid-19 dan sama ada vaksinnya berkesan,” kata beliau.



Bagaimanapun katanya, Umno tahu sekiranya ia menunggu terlalu lama, kemungkinan PPBM berjaya merekrut ahlinya juga semakin tinggi.

Justeru, Umno akan bekerja keras untuk memperkukuh kerjasama dengan PAS sementara menunggu kes Covid-19 berjaya dikawal.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker