PPBM bertaut dengan UMNO


TIDAK mustahil untuk UMNO dan parti serpihannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertaut semula.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Senator Muhammad Zahid Md. Arip yakin dan percaya penyatuan UMNO dan Bersatu boleh berlaku jika kedua-dua kepimpinan parti membuang ego masing-masing dan berlapang dada serta menerima kelebihan dan kekurangan antara satu sama lain.

Muhammad Zahid berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan yang dikemukan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar kedua-dua parti bergabung.

“Saya terharu bukan mudah Tengku Adnan berkata demikian tatkala irama dan gendang perpisahan dengan Bersatu sedang dikumandangkan, alih-alih Tengku Adnan bukan sahaja menyokong Muhyiddin tetapi mengharapkan pencantuman UMNO dan Bersatu



“Saya mengalu dan menyambut baik saranan beliau itu dan saya percaya pemimpin-pemimpin Bersatu seperti saya. Saya berharap pimpinan UMNO juga turut berlapang dada dan tidak menolak pencantuman yang dikemukakan, diimpikan dan diidam-idamkan oleh Tengku Adnan.

“Kita tahu bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatu kita utuh, bercerai ketawalah musuh,” kata Muhammad Zahid.

Beliau yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap, cadangan yang dikemukakan Tengku Adnan dapat disegerakan oleh kedua-dua parti.

Tambahnya, keputusan yang diambil oleh kedua-dua parti dalam mesyuarat majlis tertinggi kelmarin sepatutnya dapat memadamkan gendang perpecahan yang dipalu oleh pihak tertentu sebelum ini.



“Ia perlu bermula dengan azam baharu, tekad baharu untuk tidak lagi bercerita tentang perpecahan. Kita perlu bercerita tentang pencantuman, kerjasama yang lebih kukuh kearah menghadapi pilihanraya.

“Saya penuh yakin dan percaya kalau kita membuang ego masing-masing berlapang dada dan menerima kelebihan dan kekurangan antara satu sama lain, kita boleh garap satu ketumbukan menghadapi pilihanraya dengan lebih meyakinkan dan menyenangkan rakyat untuk memilih kita pada pilihanraya akan datang,” katanya.

UMNO Bahagian Putrajaya pada Persidangan UMNO Bahagian baru-baru ini membuat ketetapan menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun terdapat gesaan agar parti itu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas mengenai surat sokongan Presiden UMNO Datuk Seri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan, Muhammad Zahir berkata, semua pihak perlu melupakan perkara yang sudah berlalu.



Katanya, UMNO telah menunjukkan sokongan secara padu kepada kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam Belanjawan 2021.

“Saya ingat perkara itu sudah tidak relevan lagi kerana surat ini dikatakan ditandatangani oleh Ahmad Zahid sebelum pembentangan Belanjawan 2021.

“Dan mereka buktikan UMNO sokongan mereka secara en bloc terhadap kelulusan Belanjawan 2021. Kalau kita mahu lihat kehadapan kearah pencantuman saya ingat kita tidak payah lagi bercerita perkara yang sudah lepas. Perkara lalu kita jadikan sempadan.

“Sebagai manusia, sebagai ahli politik sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula kita berpolitik antara parti,” jelas Muhammad Zahid.



Jelas beliau, tanpa dokongan dan sokongan daripada UMNO sudah pasti Bersatu tidak mempunyai cukup bilangan untuk memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri. SM

Kisah Panjang Ketua Kampung Kita: Tengku Adnan Tengku Mansor



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker