Wanita UMNO Wilayah kata tak wajar pecat Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) hanya kerana berbeza pandangan dengan parti adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Zurainah Musa, berkata perbezaan pandangan atau berselisih pendapat bukan jurang untuk melebarkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu khususnya UMNO, sebaliknya wajar dijadikan iktibar memperkasakan umat dan mendaulatkan masa depan negara.
“Saya sudah lama berkecimpung dalam politik, secara peribadi berasa amat sedih dan kecewa dengan senario politik sekarang ini. Isu yang lama pun tidak selesai, datang lagi isu yang terbaru atas pemecatan Tan Sri Annuar Musa.
“Sepatutnya kita mencari penyelesaian dan persepakatan sesama kita bagi menyelesaikan kemelut yang melanda bukan menyemarakkan api atau menambah kebencian oleh ahli akar umbi,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Zurainah berkata, UMNO seharusnya mengambil pengajaran daripada kekalahan yang lalu untuk menguatkan parti, bukannya mencari salah atau menghukum mana-mana pemimpin.
Katanya, UMNO pernah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dan seharusnya belajar daripada pengalaman lalu.
Dipecat sebagai Setiausaha Agung BN, Annuar Musa jumpa wartawan esok
“Jangan mengamalkan budaya politik sempit dengan sewenang-wenangnya menghukum mana-mana pemimpin yang dilihat tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan atau yang berani menegur demi kebaikan parti.
“Secara peribadi, saya melihat Tan Sri Annuar Musa banyak berjasa dan membantu membangunkan parti dan membela rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
UMNO perlu diperkukuhkan dan diperkuatkan terlebih dahulu supaya ia menjadi landasan yang lebih stabil dan mantap dalam perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Seperti yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini berhubung kerjasama politik menjelang PRU-15 yang akan datang, iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), itulah pendirian konsisten yang perlu dikekalkan.
“Anwar peribadinya tak elok, berselindung di sebalik topeng dan hanya menjadi boneka. DAP bersikap rasis, tidak menghormati malah menghina Islam dan ingkar kepada institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
BN hari ini memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan akan mengambil tugas alih tempat Annuar selepas ini.
Keputusan pemecatan itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid di ibu pejabat UMNO, hari ini.
Annuar sebelum ini dikritik akar umbi UMNO yang mengaitkan beliau kononnya membawa suara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam BN.
You must be logged in to post a comment.