Ali XPDC masuk hospital akibat sesak nafas

Vokalis kumpulan rock XPDC, Ali dimasukkan ke hospital sejak malam semalam akibat sesak nafas selain komplikasi jantung dan darah tinggi yang dihadapi.

Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Shah Alam, Selangor pada tengah malam semalam.

Perkara berkenaan dikongsikan Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

“Ali dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas dan penyakit jantung serta darah tinggi yang dihidapinya.

“Cuma pagi tadi keadaannya bertambah pulih dan bantuan alat pernafasan sudah ditanggalkan. Alhamdulillah dia juga sudah dipindahkan ke unit wad separuh kritikal,” katanya.

Ayob menambah, penyanyi berusia 53 itu sebenarnya sudah mengalami sakit-sakit sejak beberapa hari lalu tetapi keadaannya ketika itu tidaklah begitu teruk.

“Kalau ada yang masih ingat, Ali pernah disambar api pada bahagian tangan dan muka pada tahun lepas, sejak dari situ, Ali sedikit menyepi. Kemudian sekitar Jun atau Julai tahun lalu dia mula sakit.

“Buat masa sekarang, keadaannya stabil, boleh makan dan bercakap seperti biasa. Cuma dia masih dalam rawatan dan memerlukan sedikit masa untuk benar-benar sembuh,” ujar Ayob lagi.

Sementara itu Ali dalam sebuah video yang dirakam Ayob menerusi Facebooknya beberapa jam lalu memohon kemurahan hati semua pihak agar mendoakan kesembuhannya.

“Mohon doakan saya yang dimasukkan ke hospital. Ada sedikit ujian daripada Allah SWT.

“Doa-doa kalian harap dikabulkan dan insya-Allah kembali pulih. Doakan saya supaya segera sembuh,” katanya ringkas.

Pada 26 Mac tahun lalu, Ali melecur sebanyak 30 peratus pada bahagian tangan dan muka selepas disambar api ketika sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor

Jangan tunggu sesak nafas baru nak datang hospital – KKM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker