Berapa sudah dibazirkan untuk HSR, badan ketelusan, anti-rasuah mahu jawapan

Putrajaya digesa melaporkan jumlah wang yang sudah dibazirkan untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang kini dibatalkan, bagi memupuk kepercayaan dan ketelusan antara kerajaan dan rakyat.

Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan, mengingatkan perbelanjaan itu tidak termasuk pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura, yang dianggarkan sekitar RM300 juta.

Katanya, rakyat berhak tahu kerana kerajaan menggunakan wang pembayar cukai.



“Kerajaan perlu mendedahkan perincian kos setakat ini, paling tidak yang melibatkan projek itu di pihak Malaysia.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan kos pampasan selepas membatalkan projek berkenaan kerana kedua-dua negara tertakluk pada klausa kerahsiaan.

Sebelum ini, sumber kerajaan memberitahu FMT bahawa Putrajaya perlu membayar kira-kira RM320 juta kepada Singapura.

Namun, bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa ia mungkin meningkat kepada RM1 bilion, memandangkan banyak yang sudah Singapura belanjakan untuk projek itu.



Mohan berkata, rakyat berhak tahu sebab-sebab pembatalan projek berkenaan, termasuk terma dan syarat projek kereta api sepanjang 350km itu.

“Tiada persetujuan itu tentang apa? Mereka juga harus telus berhubung maklumat lain yang perlu didedahkan di pihak Malaysia,” katanya.

Pengarah pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, juga menggesa kerajaan bersikap telus.

“Ia wang pembayar cukai, bukan wang mereka,” katanya kepada FMT.



Beliau berkata, “kerajaan yang tidak dipilih” harus menunjukkan ia lebih baik berbanding pertadbiran lain dan buktikan kepada rakyat ia telus dan bertanggungjawab.

“Jika amalan kerahsiaan ini berterusan, maka kita bergerak ke arah kerajaan yang lebih sukar difahami dan potensi rasuah yang berakar,” katanya.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng berkata, sebab pembatalan dan kos pampasan sebahagian daripada tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban.

“Jika semua perkara disorok sebalik tabir kerahsiaan, wujud kesan negatif ke atas kredibiliti dan tadbir urus.



“Projek awam sedemikian biasanya merupakan projek tender terbuka, bukan rundingan terus. Jadi ia boleh didedahkan kepada awam,” katanya.

Profesor di Universiti Sunway itu berkata, projek tersebut mendapat perhatian umum dan kerajaan perlu mencari jalan untuk melaporkan perinciannya kepada orang ramai, terutama yang melibatkan pihak Malaysia.

“Jika ia dirahsiakan, maka akan wujud tanggapan kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Carmen Ferlito, bagaimanapun berkata, kerajaan mungkin tertakluk pada klausa kerahsiaan.



“Jika klausa ini benar-benar ada, maka kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Namun, kata Ferlito, atas nama ketelusan, kerajaan sepatutnya lebih awal membantah klausa itu-FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker