189 UMNO Bahagian Tolak Bersatu Hanya 2 Terima Untuk Kerjasama, Zahid Panggil Semua Ketua Bahagian Mesyuarat Esok

 

KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO memberi isyarat jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini berdasarkan keputusan 189 daripada 191 bahagian yang selesai bermesyuarat semalam membawa usul menolak sebarang kerjasama antara kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).



Utusan Malaysia difahamkan, 191 bahagian yang selesai bersidang, sebanyak 189 daripa­danya mengusulkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu.

Hanya dua bahagian yang me­nyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Bersatu iaitu satu di Kelantan dan satu lagi di Perlis berdasarkan kepada kenyataan kedua-dua pemimpin dari bahagian tersebut.

Perkara itu secara jelas ‘meng­iyakan’ dakwaan penuh kontroversi yang dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi sebelum ini bahawa 145 bahagian enggan melihat parti itu meneruskan kerjasama berkenaan.

Inti pati daripada mesyuarat UMNO bahagian seluruh negara melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir semalam, sedikit sebanyak telah memberi tamparan hebat buat kerajaan Perikatan Nasional (PN).



Manakan tidak, UMNO bahagian Pagoh secara terbuka mengumumkan enggan memberi laluan mudah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU-15.

Difahamkan, kepemimpinan bahagian memutuskan akan meletak calon bertanding dalam apa jua keadaan di kerusi Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pagoh.

Jika kerusi Parlimen yang di­sandang pemimpin nombor satu negara seperti Muhyiddin pun tidak diberikan muka, bagaimana pula dengan 15 kerusi Parlimen yang dahulunya dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Sementara itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 143 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.



 

Beliau berkata, ia adalah hasil dapatan daripada tinjauan yang dilakukan menerusi kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.

“Sebagai Presiden UMNO, saya menghormati jika keputusan 143 ketua bahagian itu kemudian dijadikan usul secara rasmi di peringkat perwakilan bahagian, ertinya itu adalah usul yang harus dikaji dan diterima oleh UMNO Malaysia,” katanya pada sidang media selepas me­rasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini semalam.



Menurut Ahmad Zahid, semua usul itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang kemudian akan membuat ketetapan sama ada akan menerimanya atau tidak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, UMNO perlu membina kekuatannya sendiri, namun tidak sampai menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Kita akan letak kita punya kehendak, kalau andai kata semua bersetuju mengapa tidak, lebih ramai lebih baik, kalau bersama lagi kuat, daripada kita terang-terang terus menolak.

“Berfikir biar panjang, bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang buruk baiknya, memang semangat bahagian nak menolak, masing-masing cemburu hati sebab semua nampak mahu bertanding nak jadi calon,” katanya.



Walau bagaimanapun, Ke­tua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menjelaskan, kesemua usul daripada 191 bahagian akan dibincangkan oleh MKT sebelum membuat sebarang ketetapan termasuk usul kerjasama dengan Bersatu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepemimpinan tertinggi akan mengambil kira semua suara akar umbi.

Hanya satu bahagian di Kelantan dan satu di Perlis bersedia mempertahankan kerjasama sedia ada, berdasarkan kenyataan pemimpin dari bahagian tersebut.

Laporan itu tidak menyebut secara khusus berkaitan pendirian Umno Putrajaya.



Semalam ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor mereka membuat ketetapan menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dia juga meminta semua ahli parlimen Umno meneruskan kerjasama dengan PN.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum ini berkata sebanyak 145 bahagian enggan meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Semalam, memetik tinjauan melalui Whatsapp, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 143 daripada 191 ketua Umno bahagian enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Related Articles

One Comment

  1. Yang nak kerjasama tu bahagian si nuek museng dgn si arau..sayang jawatan..
    Piiiiiiraaaaaahhhh

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker