Beranikah UMNO mufarakah dengan Bersatu?



Sebaran :

 

DIFAHAMKAN majoriti bahagian UMNO yang selesai bermesyuarat semalam menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Nampaknya suara akar umbi parti itu nampak solid dan dipercayai lebih 180 daripada kesemua 191 bahagian menolak Bersatu.

Jumlah itu ternyata lebih banyak daripada jangkaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi yang sebelum itu membayangkan kira-kira 145 bahagian parti akan menolak Bersatu.



Difahamkan, Bahagian Ketereh, Putrajaya dan satu bahagian di Perlis sahaja dilihat menyokong kerjasama dengan Bersatu.

Di Ketereh, ketua bahagiannya, Tan Sri Annuar Musa secara jelas menyokong kerjasama dengan Bersatu dan mengandaikan kejayaan bukan milik Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional sekiranya mahu bergerak solo.

Lebih ekstrem, UMNO Bahagian Pagoh sendiri menyatakan tidak akan memberi laluan mudah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding di Parlimen Pagoh.



Walaupun ia bertentangan dengan keputusan UMNO Johor sebelum ini yang memberi sokongan untuk Muhyiddin kekal di Pagoh dalam PRU-15.

UMNO Perak dan Selangor pula jelas tidak mahu mengambil semula kerusi parti yang dilarikan bekas pemimpinnya yang menyertai Bersatu.

Suara bantahan majoriti akar umbi itu bermula apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyelar tindakan Bersatu yang ‘mencuri’ ali UMNO.



Malah beliau menyebut nama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai individu terlibat.

Lebih panas ia kemudiannya dibangkitkan oleh Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa ada pihak dalam Bersatu memberi sejumlah wang yang banyak kepada orang UMNO yang mahu membuka cawangan Bersatu.

Bagaimanapun rata-rata bahagian menjaga baik hubungan UMNO dengan Pas yang dimeterai melalui Muafakat Nasional (MN) kerana percaya gabungan mereka tanpa Bersatu sudah mampu memerintah negara selepas PRU-15.



Namun ada juga suara bahagian di Terengganu yang menolak kerjasama dengan Pas kerana beranggapan mahu merampas kerajaan negeri bersendirian.

Nampaknya keputusan majoriti UMNO sudah pasti meletakkan Pas dalam keadaan dilema kerana parti itu bersama Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional.

Keputusan rasmi UMNO sudah pasti diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertingginya nanti dan dipanjangkan Mesyuarat Majlis Presiden PN.



Adakah UMNO benar-benar mahu mufarakah dengan Bersatu dan merosakkan hubungan dengan Pas?

Atau suara-suara desakan UMNO itu sekadar amaran kepada Bersatu supaya jangan lagi ‘membuli’ UMNO jika mahu kerajaan sedia ada kekal selepas PRU-15?

Satu lagi, bersediakan UMNO melihat Pakatan Harapan sekali lagi menjadi kerajaan sekiranya langkah bermufarakah dengan Bersatu satu kesilapan?- MalaysiaGazette


Sebaran :


Leave a Reply