Batal HSR ganggu pelan pembangunan Melaka – Ketua Menteri

 

ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka berharap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dibatalkan Jumaat lalu, dapat diteruskan bagi merancakkan kembali sektor ekonomi pelancongan negeri itu.

Ketua Menterinya, Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu sedikit mengganggu pelan pembangunan kemajuan negeri, termasuk pembinaan koridor ekonomi baru, iaitu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

“Apabila projek ini dibatalkan, Melaka pada saya agak ‘malang’ sedikit dari segi ekonomi kerana sebelum ini kita yakin sekiranya HSR ada stesennya di Melaka, sudah pasti kawasan itu akan menjadi satu hab yang mampu memberi limpahan manfaat kepada persekitarannya.

“Bila ia tidak dapat dilaksanakan, sudah pasti pelan induk keseluruhan (pembangunan negeri) yang sudah kita rencanakan sebelum ini, akan (diubah) tidak memasukkan projek HSR ini,” katanya selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Beliau berkata, meskipun projek HSR ditamatkan, projek M-WEZ yang akan dibangunkan di kawasan tambak laut seluas 6,070 hektar sepanjang 22km dari Umbai ke Tanjung Bruas tetap diteruskan.

“Walaupun kedua-dua projek ini berbeza, tetapi jika adanya HSR di Melaka seiring M-WEZ, pastinya akan merancakkan lagi pelan pembangunan negeri pada masa akan datang.”

Pada 22 Julai lalu, kerajaan negeri mengenal pasti lokasi bagi pembangunan stesen projek HSR, iaitu berhampiran Bandar Hijau antara Mukim Durian Tunggal, di Alor Gajah dan Mukim Ayer Panas di daerah Jasin, manakala laluan bagi projek HSR di Melaka akan melibatkan jarak sejauh 60km.

Melaka antara negeri yang dipilih mempunyai stesen dilalui HSR dalam perjalanan sejauh kira-kira 350km menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker