Banjir kali ini lain macam


Kluang: Banjir yang melanda Kluang hari ini dianggap amat berlainan apabila penduduk mendakwa air masuk ke kediaman mereka terlalu cepat menyebabkan ada yang tidak sempat membuat persiapan apa-apa untuk berpindah.

Penduduk di Lorong Kerjasama Kampung Baru, Hassan Abdullah, 48, berkata, keadaan itu mungkin berlaku akibat hujan yang agak lebat selain ia berlaku sepanjang malam tadi.

Menurutnya, jika keadaan hujan ini terus berlarutan dikhuatiri kejadian banjir besar pada 2006 dan 2007 berulang kembali yang mana hampir sebahagian kawasan di bandar Kluang ditenggelami air.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menggerakkan bantuan menyelamatkan mangsa di Kampung Baru ini selain kampung berdekatan seperti Kampung Tengah Dalam dan Kampung SC.



“Kami juga berharap banjir ini berakhir segera kerana bimbang dengan penularan Covid-19 walaupun ditempatkan mengikut jarak ditetapkan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hassan turut bimbang dengan keadaan rumahnya yang ditinggalkan dan berharap pihak berkuasa dalam membuat pemantauan agar tidak ada yang mengambil kesempatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang Md Norhalim Md Amin berkata, beberapa buah pusat penempatan sementara (PPS) yang sudah dibuka diberikan bantuan bekalan makanan daripada pihaknya petang hari ini.

Menurutnya, antara PPS yang diberikan bantuan bekalan makanan ini adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Sekolah Agama Kampung Tengah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu, SMK Sri Kluang dan SMK Sri Perdana.



“Bantuan ini adalah sebagai tambahan kepada bekalan makanan yang disalurkan secara berbungkus oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. HM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker