Muafakat Nasional tidak akan didaftarkan sebagai parti politik – Annuar Musa

Sebaran :

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa, mendedahkan gabungan antara UMNO dan PAS itu tidak akan didaftarkan sebagai parti politik, sebaliknya akan kekal menjadi wadah ‘penyatuan umat’.

Annuar berkata, kenyataan segelintir pemimpin bahawa MN tidak didaftarkan kerana nama berkenaan sudah digunakan pihak lain adalah tidak tepat, sebaliknya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, sendiri meminta jawatankuasa perunding gabungan itu supaya MN tidak didaftarkan.

“Kenapa hendak sembunyi? Beritahulah. Ada yang kata MN tidak didaftarkan kerana MN ada parti lain, ada yang kata tidak boleh daftar sebab perlembagaan tidak siap. Saya jelaskan, setakat rekod yang ada pada saya, kita buat keputusan MN tidak akan didaftar sebagai sebuah parti politik.

“Ia akan kekal sebagai salah satu wadah yang mendokong gerakan penyatuan umat, tidak eksklusif kepada UMNO dan PAS. Malah terbuka pada penglibatan parti politik dan Islam, hatta NGO yang menyokong semangat sama iaitu penyatuan umat, tanpa ia didaftarkan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, beritahu FMT, gabungan UMNO, PAS, dan PPBM itu tidak dapat didaftarkan kerana MN sudah digunakan pihak lain dan sudah berdaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Annuar berkata, dakwaan kegagalan pendaftaran MN berpunca daripada beliau adalah tidak benar, sebaliknya menjelaskan bahawa beliau sendiri sudah merangka perlembagaan dan lambang MN.

“(Namun) setakat ini keputusan jawatankuasa pemandu MN, yang dipengerusikan Tuan Ibrahim dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, membuat keputusan dan bersetuju bahawa MN tidak perlu didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Ini fakta,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut menolak kritikan sesetengah pemimpin UMNO yang menggesa parti itu mengambil tindakan disiplin terhadapnya, selain mendesak kepimpinan tertinggi UMNO membuat ketetapan untuk keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jangan cabar saya! Keputusan parti sehingga kini masih kekal, iaitu ‘katakan tidak kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan tidak akan bersama dengan DAP’.

“Jika kita keluar PN, kita hendak pergi ke mana? Adakah mahu bersama DAP, PKR, atau macam mana?”

Beliau menggesa pemimpin UMNO supaya membincangkan hal keluar PN di tempat yang sesuai, bukan di Facebook atau WhatsApp.

“Berapa kali nama saya ‘dibedal’ oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sendiri, tetapi saya tidak melawan. Bukan kelas saya, tetapi saya bukan pondan politik,” katanya.

Annuar mengingatkan mereka akan rekod politiknya, mengatakan beliau pernah menentang Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau boleh sahaja melawan kembali mana-mana pemimpin yang mempertikaikan kredibilitinya, namun tidak berminat jika ia menimbulkan perpecahan.

“Kalau hendak tengok lawan, Annuar Musa ini boleh sahaja berlawan. Kalau rumah tangga sendiri tidak boleh tunjukkan keharmonian, jangan harap orang luar hendak percaya.

“Saya ada prinsip saya dan pada bila tiba masanya, saya akan pertahankan prinsip ini,” katanya.


Sebaran :

Leave a Reply