Contohi Singapura, tingkat umur kebenaran merokok, pakar kesihatan gesa Putrajaya

PETALING JAYA: Susulan keputusan Singapura meningkatkan umur kebenaran merokok kepada 21 tahun bermula Jan tahun ini, pakar kesihatan menggesa Putrajaya mengambil langkah yang sama.

Pada masa kini, mengikut Seksyen 13 Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, umur kebenaran merokok di negara ini ialah 18 tahun.

Peruntukan ini tidak berubah sejak 1994.



Bercakap kepada FMT, pakar kawalan tembakau Dr Zarihah Mohd Zain, yang membantu merangka peraturan berkaitan merokok berkata, keputusan meningkatkan umur kebenaran merokok ke 21 tahun adalah langkah baik yang boleh mengurangkan bilangan perokok di negara ini.

Dr Zarihah Mohd Zain.

“Ia langkah terbaik yang boleh mengurangkan pengenalan perbuatan merokok dan tabiat merokok,” katanya dengan menambah bahawa langkah itu juga boleh menambah baik kesihatan awam.

Beliau berkata, bagi mengekalkan keuntungan, industri tembakau perlu menggantikan bilangan pelanggan yang hilang (kerana kematian atau pemberhentian merokok) dengan menyasarkan golongan muda sebagai “perokok gantian”.

“Nisbah kemungkinan remaja merokok adalah lebih tinggi daripada orang dewasa.”



“Berdasarkan kajian, jika seseorang lelaki tidak pernah merokok sehingga berumur 18 tahun, maka nisbah beliau tidak merokok ialah 3:1

 

“Apabila berumur 21 tahun, nisbah itu berkurang kepada 20:1,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dr Noor Azmi Ghazali bersetuju.



Beliau berkata, analisis kesan peraturan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2017 menunjukkan peningkatkan umur kebenaran merokok kepada 21 tahun akan membawa banyak kebaikan.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, rang undang-undang baharu untuk mengawal semula produk berkaitan tembakau dan e-rokok akan diperkenalkan pada penghujung 2019 dan rang undang-undang kawalan tembakau itu digubal semasa beliau menjadi menteri.

Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun sehingga kini ia belum dibentangkan.

Katanya, beliau diberitahu bahawa rang undang-undang itu kini “berada di Jabatan Peguam Negara”.



Dzulkefly berkata, “beliau diberitahu bahawa syarikat tembakau melobi membantah akta tersebut”.

Ketika ditanya berhubung akta tembakau baharu, Noor Azmi mengesahkan bahawa rang undang-undang itu kini melalui semakan terakhir dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Zarihah mendakwa penangguhan pembentangan rang undang-undang itu adalah susulan campur tangan industri tembakau yang menurutnya turut disokong oleh golongan tertentu di agensi kerajaan berkaitan.

“Tidak ada sebab lain yang munasabah kenapa penangguhan itu berlaku,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker