Ugutan bunuh Ketua Polis Johor, Suspek hanya mahu lepas geram – KPN

KUALA LUMPUR: Individu yang mengugut dan mengancam untuk membunuh Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berbuat demikian demi melepaskan geram dan tidak lebih daripada itu, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbuatan itu tetap menyalahi undang-undang kerana sebarang ugutan ditujukan kepada seseorang merupakan satu kesalahan.

“Polis akan menahan dan mendakwa mereka yang terlibat (mengugut seseorang). Oleh itu, saya menasihatkan Ayob Khan agar berjaga-jaga. Begitu juga dengan saya yang juga menerima ugutan bunuh,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.

Hamid berkata, beliau sedia menghadapi apa jua ancaman.

Sebelum ini, polis Johor dilaporkan sedang menyiasat kes ugutan bunuh ke atas Ayob Khan yang dipercayai melibatkan tiga ahli kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam perkembangan lain, Hamid berkata, vest polis peronda (MPV) yang baru dengan keupayaan menahan kesan tikaman dan kalis peluru, adalah langkah PDRM mengurangkan impak kecederaan kepada anggota.

“Selama ini, memang ada dibekalkan (vest), namun ia telah uzur dimamah usia, maka dengan vest kalis peluru berteknologi baru ini, ia akan lebih ringan dan lebih baik. Jadi, PDRM akan terus berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat pemerolehan.

“Bukan setakat vest kalis peluru saja, saya memohon petugas di bawah dibekalkan kamera badan, pistol perenjat elektrik (taser gun) supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan selamat dan cekap.”

Hamid berkata, beliau mahu mengurangkan kecederaan anggota yang melakukan tangkapan atau operasi.

“Saya mengalu-alukan apabila peruntukan diperoleh untuk membeli vest baru ini. Maka penggunaannya ialah barisan hadapan, iaitu peronda MPV kerana mereka ini yang akan turun ke lapangan, tempat kejadian. Merekalah paling layak diutamakan dengan vest.

“Setakat ini, ia masih dalam proses dan PDRM akan terus memohon dengan KDN untuk mengingatkan KDN bahawa PDRM amat memerlukannya.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker