Lelaki lari pemeriksaan polis terbabas langgar van

BAGAN SERAI – Seorang lelaki yang memiliki pelbagai peralatan memecah rumah bertindak memecut laju melarikan diri daripada diperiksa polis di Kilometer 188 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini semalam.

Pemandu kereta jenis Proton Iriz berusia 44 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis selepas dia terbabas dan melanggar sebuah van di tepi jalan menghala ke Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian kira-kira pada pukul 7 pagi itu, dua anggota polis sedang melakukan rondaan sebelum ternampak kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas semakan dibuat, nombor pendaftaran yang digunakan kereta suspek adalah palsu sebelum menahan kereta tersebut.

“Suspek bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan melarikan diri dengan memecut laju keretanya sebelum merempuh palang tol di Plaza Tol Alor Pongsu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mazuki, kereta yang dipandu suspek kemudian terbabas sebelum melanggar sebuah van yang diletakkan di tepi jalan.

“Suspek berjaya ditahan polis dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian manakala seorang rakannya melarikan diri.

“Polis merampas kenderaan yang digunakan suspek termasuk peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah, beg duit yang mengandungi mata wang asing dan alatan untuk menghisap dadah serta sebuah talian bimbit,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah berkaitan kes pecah bangunan dan dua rekod dadah selain dikehendaki oleh polis.

“Suspek direman selama 4 hari mulai hari ini hingga 3 Januari depan dan usaha mengesan rakan suspek yang melarikan diri dikenali sebagai Saidin sedang giat dijalankan.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam,” katanya. K Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker