Patut dari awal lagi MN pelawa parti lain bina kesatuan ummah

Kerjasama antara parti mesti berasaskan musyawarah bukan arahan

Muafakat Nasional (MN) sepatutnya dari awal lagi mempelawa parti-parti politik selain UMNO dan PAS untuk bekerjasama, malah membina kesatuan ummah merentasi kepartian sehingga membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh indvidu.

Demikian kata Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim mengulas mengenai saranan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan supaya MN dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.

Cadangan itu disuarakan Takiyuddin berikutan kenyataan beliau sebelum ini bahawa MN bukan milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok.

Beliau berkata, MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasa agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan.



“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini, semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta menghormati, bukan sebaliknya,” katanya.

Zahid beri jaminan Muafakat Nasional ‘Kekal’ dan ‘diperkasakan’

Ustaz Zamani berkata, langkah menggerakkan agenda untuk membangunkan watan berdaulat tidak boleh diserahkan hanya kepada UMNO dan PAS sahaja.



Justeru katanya, BERJASA menyokong sekiranya MN ingin mempelawa dan membuka pintu kerjasama dengan parti-parti yang ingin turut membangunkan watan ini.

Namun, ianya perlu dibawa ke meja perundingan untuk mengelakkan daripada parti-parti kecil menjadi pak turut kepada parti besar.

“Kerjasama antara parti mestilah berasaskan kepada musyawarah bukan berbentuk arahan.

“Budaya ingin menjadi ketua antara parti disebabkan dia parti lama dan parti yang banyak kerusi perlu diketepikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.



Dalam pada itu, beliau berkata, keikhlasan semua pemimpin parti mesti dijelmakan melalui tolak ansur yang tinggi dalam pembahagian kerusi bahkan tiada lagi istilah kerusi tradisi oleh mana-mana parti.

“BERJASA juga ingin memberikan pandangan bahawa setiap parti hendaklah menonjolkan calon-calon yang bersih, berintegriti dan berwibawa.

“Calon-calon yang mempunyai rekod buruk dan tidak bermoral hendaklah disingkirkan, ini kerana kita tidak mahu MN yang bersaiz besar nanti menjadi rosak, ibarat pepatah kerana nila setitik rosaknya susu sebelanga,” katanya.

‘Gabungan PAS, Umno, Bersatu lebih kuat umpama seberkas lidi’ – Timbalan Mursyidul Am PAS



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker