Ramai ingkar peraturan penggunaan skuter elektrik

Kuala Lumpur: Bermula hari ini, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang.

Tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Namun, terdapat warga kota termasuk rakyat tempatan dan asing didapati melanggar undang-undang berkenaan.

Tinjauan Harian Metro sekitar dua jam di kawasan tumpuan Bukit Bintang, di sini, pada hari pertama penguatkuasaan yang jatuh tarikh sama awal Tahun Baharu 2021 mendapati masih ramai melakukan kesalahan itu.

Malah ada pasangan lelaki dan wanita naik berdua skuter elektrik melintasi jalan utama yang sibuk, hampir melanggar sebuah motosikal Honda EX-5 ditunggang seorang lelaki.

Tinjauan turut mendapati beberapa pelancong asing menunggang kenderaan berkenaan dengan melawan arus yang sekali gus boleh mengundang padah selain itu kelibat penghantar makanan menggunakan jalan utama turut kelihatan menggunakan jalan raya utama.

Berdasarkan tinjauan pendapat, masih ada belum mengetahui bahawa polis Kuala Lumpur akan mengenakan tindakan undang-undang kepada penunggang skuter elektrik di atas jalan raya mulai 1 Januari 2021 yang kini menjadi trend baharu itu.

Eksekutif Pemasaran Mohamad Azamullah Adanan, 27, mengakui ada mendengar berita mengenai undang-undang baharu itu namun tidak tahu bentuk hukuman kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan menunggang skuter elektrik.

“Tetapi kita boleh melihat dari segi aspek mengurangkan kos harian kita. Adanya skuter elektrik ini dapat membantu mengurangkan kos seperti minyak petrol atau pun mungkin dari segi cukai. Jika kita lihat di pasaran pun, harga kenderaan ini dalam RM10,000 ke RM15,000 tetapi penjimatan untuk kos seharian.

“Pada pendapat saya, skuter elektrik ini diketengahkan untuk digunakan di atas jalan raya. Ini kali pertama saya cuba skuter elektrik ini. Memang agak menyeronokkan bagi orang muda,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi berkata, penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

Selain itu, katanya, skuter elektrik tidak boleh naik berdua, bersaing, mesti dilengkapi lampu, brek dan loceng.

“Penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan untuk menggunakannya di atas jalan raya kecuali di lorong basikal warna biru. Ini kerana ia mengganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau kemalangan,” katanya.

Katanya, penunggang skuter elektrik perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika mahu menggunakan skuter berkenaan di atas jalan raya.

Zulkefly berkata, selepas dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41, 42, 43, 45, APJ 1987 dibaca bersama Seksyen 54 APJ 1987.

“Kesalahan pertama boleh dikenakan denda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan,” katanya.

Penggunaan skuter elektrik menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan dan menaiki pengangkutan awam.

Kenderaan skuter elektrik tergolong di bawah takrifan Kenderaan Mikromobiliti.

Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti bermaksud, ‘mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam.

Mulai 1 Januari 2021, skuter elektrik dilarang berada di atas jalan raya – PDRM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker