‘Kami berenang lebih 14 jam’, – Nelayan

PASIR PUTEH: “Kami terpaksa berenang lebih 14 jam,” kata tekong bot, Tuan Azhar Tengku Long, 46, antara empat nelayan ditemui selamat, selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu semalam.

Menceritakan detik cemas itu, katanya, mereka mengambil keputusan terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan, selepas bot dimasuki air serta karam akibat dipukul ombak setinggi tiga hingga empat meter dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari.

“Ketika kejadian, kami sedang berusaha menaikkan pukat di kawasan perairan itu, tetapi tanpa disedari, ombak semakin besar sehingga bot ditelenggami air,” katanya di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali.

Selain Tuan Azhar, turut terselamat ialah anaknya, Tuan Azrizal, 19, dan Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, dalam keadaan stabil serta Norizan Yusof, 45, yang dikejarkan ke Pusat Kesihatan Kuala Besut bagi mendapatkan rawatan kerana kekurangan oksigen sejurus tiba di jeti.

Terdahulu, empat nelayan yang berasal dari Kelantan itu ditemui di pesisir pantai dekat sebuah resort di Pulau Perhentian Besar kira-kira 8.45 pagi tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Saari Saleh, 40, yang berasal dari Terengganu belum ditemui dan APMM bersama polis giat melakukan operasi mencari dan menyelamat dalam radius lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Tuan Azhar berkata, mereka berempat berenang menuju ke arah Pulau Perhentian semula, namun Saari pula bertindak meninggalkan kumpulan dan menyelamatkan diri secara bersendirian.

“Setakat ini, saya tidak tahu sama ada dia selamat atau sebaliknya,” katanya yang bimbang rakannya belum ditemui.

Sementara itu, ibu Saari, Hurani Awang, 73, terus berdoa dan yakin anaknya masih selamat, namun beliau redha jika mendapat khabar duka.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, bot dinaiki lima nelayan itu karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak, ketika keadaan laut bergelora dan hujan lebat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker