Henti guna peluru hidup – Datuk Huan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) harus segera menghentikan penggunaan peluru hidup dalam demonstrasi latihan kerana tiada 100 peratus jaminan fokus penembak tepat pada yang disasarkan.

Sehubungan itu, veteran ATM, Datuk Huan Cheng Guan meminta angkatan bersenjata tersebut melakukan siasatan penuh dan rapi terhadap insiden berdarah itu terutama sama ada demonstrasi sedemikian merupakan sebahagian dari program rasmi ATM.

“Memandangkan arwah Mejar Mohd. Zahir Armaya merupakan bapa kepada lima orang anak yang masih kecil, saya juga berharap kebajikan anak-anak dan isteri arwah dilihat sepenuhnya dan bukan setakat terima pampasan dari bayaran insuran kelompok.

“Rakyat Malaysia dan veteran tentera berasa amat sedih dengan kemalangan ini.

“Insiden ini telah membuktikan bahawa pegawai dan anggota ATM sentiasa menghadapi cabaran yang amat besar dalam melaksanakan tugas dan bukan seperti diperkatakan oleh pihak tertentu bahawa ‘tentera hanya tahu makan dan tidur sahaja’,” kata beliau yang juga Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam satu kenyataan kepada Utusan Online pagi ini.

Mohd. Zahir, 36, yang bertugas sebagai pegawai komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas maut terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, dalam kejadian pada pukul 8.40 pagi semalam.

Allahyarham adalah anak kepada pelawak dan pelakon veteran, AR Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker