Menteri Israel perintah tahanan Palestin tak diberi vaksin

Hanya kakitangan penjara dibenar dapatkan vaksin COVID-19

TEL AVIV, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Seorang menteri Israel memerintahkan pegawai penjara untuk tidak memberikan tahanan Palestin vaksin COVID-19, dengan mengatakan bahawa tahanan tertentu tidak boleh diberikan vaksin tanpa izin.

Menurut kenyataan daripada pejabat Amir Ohana, beliau telah memerintahkan Perkhidmatan Penjara Israel untuk hanya memberi vaksin kepada kakitangan penjara buat masa ini.

Tahanan akan diberi vaksin ‘sesuai dengan progres vaksinasi orang awam,’ kata kenyataan itu, lapor The Times of Israel.

Pengumuman itu dibuat setelah, Pengarah Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Pihak Berkuasa Palestin, Qadri Abu Baker mengatakan tahanan keselamatan Palestin akan diberi vaksin dalam beberapa hari akan datang.



Vaksinasi untuk tahanan tidak akan diwajibkan, kata Qadri Abu Baker kepada agensi berita WAFA pada hari Sabtu, sambil menambah bahawa para tahanan akan menerima vaksin yang dihasilkan oleh syarikat farmasi Pfizer.

Minggu lalu, jurucakap Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan, Hasan Abed Rabbo mengumumkan bahawa seramai 140 tahanan politik Palestin di penjara Israel telah dijangkiti virus maut itu.

Beliau meminta organisasi hak asasi manusia antarabangsa untuk campur tangan bagi menyelamatkan nyawa tahanan Palestin pada saat yang begitu kritikal.

Rejim di Tel Aviv memiliki sistem ‘penahanan pentadbiran’ yang terkenal, di mana ia memenjarakan rakyat Palestin tanpa perbicaraan atau tuduhan. 



Sebilangan tahanan telah dipenjara di bawah tahanan pentadbiran sehingga 11 tahun.

Dalam pada itu, akibat wabak novel coronavirus, Qadri Abu Baker menyebut tahun 2020 sebagai ‘tahun terburuk bagi tahanan Palestin’ di penjara Israel, kerana pelanggaran hak asasi tahanan dan penyebaran COVID-19 di penjara Israel oleh rejim pengganas Israel.

“Pentadbiran penjara menyerbu dan menyerang bahagian tahanan hampir setiap hari,” katanya kepada Anadolu Agency awal bulan ini.

Rejim Israel berulang kali mengambil tindakan semberono yang mengancam nyawa tahanan Palestin. Pada bulan Julai, Mahkamah Agung Israel menolak petisyen untuk melaksanakan garis panduan perlindungan COVID-19 untuk tahanan di penjara Gilboa.



Ia juga memutuskan bahawa tahanan Palestin tidak berhak mendapat perlindungan sosial dari penyakit yang sangat menular.

Coronavirus setakat ini telah menjangkiti sejumlah 133,093 orang di wilayah Palestin dan membunuh hampir 1,310 orang.  

Di bawah kempen vaksinasi Israel, penduduk haram Yahudi yang tinggal di Tebing Barat yang diduduki akan segera menerima vaksin, tetapi 2.5 juta penduduk Palestin harus menunggu lebih lama. – Agensi



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker