Kartel daging didalangi rangkaian dalam dan luar negara, kata Bukit Aman

Kartel daging import ‘misteri’ yang menggunakan label halal palsu melibatkan dalang dalam dan luar negara yang mempunyai rangkaian luas, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed, berkata siasatan polis merangkumi pihak yang terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat serta membawa masuk daging sejuk beku ‘misteri’ itu melalui permit import (AP).

“Polis memandang serius perkara ini dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kastam,” katanya dalam kenyataan.


Huzir berkata kewajaran tindakan ke atas kartel itu mengambil kira ia mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat terutama melibatkan sensitiviti agama, serta mencetuskan rasa tidak puas hati dan mengancam ketenteraman.

Kartel itu juga turut menjejaskan imej negara sebagai hub halal, sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

“Setakat ini 13 laporan polis sudah diterima daripada orang awam,” katanya.

Siasatan ini menyusul pendedahan media wujudnya kartel dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti penyeludupan daging ‘misteri’ lebih 40 tahun.

Daging yang diragui status halal itu dikatakan diimport dari negara yang tidak mencapai piawaian ditetapkan kerajaan, tetapi kemudian dicampur dengan daging halal dan dipasarkan kepada orang ramai. FMT

Isu kartel daging: ‘Jangan lindungi jika ada VVIP terlibat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker