Vaksin celup keju
Oleh Faisal Tehrani
Saya kira, jika kita meminta Malaysia untuk memilih antara kayu hoki celup keju; atau vaksin celup keju, Malaysia akan lebih tertarik oleh kayu hoki celup keju. Sebab kayu hoki celup keju lebih lazat berbanding misalnya, keropok lekor celup keju. Maklumlah, kayu hoki.
Juga, Malaysia tidak akan apa-apa makan daging kanggaru (boleh celup atau tidak celup keju), tetapi Malaysia harus sangat berhati-hati dengan vaksin celup keju.
Ini kerana vaksin celup keju Covid-19 kita akhirnya sudah disahkan halal oleh menteri agama kita pada 23 Disember 2020. Kita terlambat kira-kira seminggu dari Singapura. Ini kerana, pada 15 Disember 2020 lagi Mufti Singapura, Nazirudin Mohd Nasir, menyatakan bahawa “langkah kerajaan membenarkan pengambilan vaksin Covid-19 untuk rakyat beragama Islam tanpa risau mengenai bahan yang digunakan, adalah keputusan eksekutif dibuat mufti republik itu, berdasarkan keadaan semasa.”
Menteri agama kita tidak tahu betapa pedihnya hati dan rasa yang harus ditelan oleh Malaysia apabila dikalahkan satu kali lagi oleh Singapura. Menteri hal ehwal Islam di Singapura, Masagos Zulkifli, dalam satu paparan di Facebook, mengalu-alukan panduan Majlis Ugama Islam Singapura tersebut dan sudah menggalakkan umat Islam mendapatkan suntikan itu.
Malaysia kalah oleh rentang masa seminggu!
Padahal Malaysia sekarang ditadbir oleh kerajaan Melayu-Islam yang cakna akan semua hal maqasid. Bahkan penulis ucapan menteri agama Malaysia pun punya doktorat. Tetapi, kita kalah seminggu.
Jadi kenapa Malaysia lambat bertindak dalam hal vaksin celup keju ini? Saya berpendapat mungkin sebab pertengahan Disember lalu dua tiga agamawan kita sedang gusar memikirkan kejadian misteri yang dihebohkan menerusi media sosial. Kejadian penuh mastika itu dikatakan menimbulkan ketakutan dan kegelisahan melampau dalam kalangan penduduk. Ada yang mengomen betapa kaitan dengan makhluk halus.
Konon terdapat gangguan misteri ketukan pintu dan gegaran jeriji besi yang melanda Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Johor sejak pertengahan bulan lalu.
Ada agamawan memberi nasihat keju-kejuan; “Cukup dengan memperbanyak bacaan ayat suci Al-Quran, solat serta berdoa supaya dihindari daripada gangguan jin dan makhluk halus. Tidak ada sebab untuk kita berasa takut dan perkara ini juga tidak perlu diperbesarkan. Kita hanya perlu sentiasa meningkatkan amalan dan pengetahuan agama kerana gangguan sering terjadi kepada seseorang yang berjiwa lemah”.
Demikianlah agamawan keju. Tatkala Malaysia harus menelan lagi kepedihan yang keterlaluan apabila vaksin celup keju sudah dikecapi dan dirasai oleh Singapura dahulu iaitu pada 21 Disember 2020. Malaysia hanya dapat melihat saja ketibaan Singapore Airlines (SIA) menerbangkan penghantaran pertama bekalan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech ke Singapura iaitu dengan menggunakan pesawat pengangkutnya dari jenis Boeing 747-400.
Mungkin pesawat itu melalui ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Changi.
Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Chin Yau Seng dalam satu kenyataan membeberkan: “Penghantaran kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 ke Singapura ini adalah satu pencapaian penting dalam usaha memerangi Covid-19, dan kami berbangga kerana dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha ini. Ini turut membuktikan kesiapsiagaan SIA dan hab udara Singapura untuk melaksanakan tugasan penting yang membabitkan penghantaran serta pengagihan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa”.
Saya tidak menemui seorang pun Malaysia yang tidak menelan air liur oleh kelembapan dan kesembapan kita. Singapura akhirnya menjadi yang pertama di Asia menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech. Kita tidak tahu apakah ia dicelup keju atau tidak, tetapi saya sudah dapat membayangkan kelazatannya. Singapura akhirnya dapat dulu, sedang kita heboh darihal kayu hoki celup keju. Kita asyik tidak bersetuju dan jengkel kerana kayu hoki berkeju itu ada banyak bulu.
Manakala itu, terlambat dua hari; Menteri sains, teknologi, dan inovasi menyatakan kepada Malaysia, kewangan Malaysia tidak sebesar negara maju seperti Kanada yang mampu membeli vaksin Covid-19 lima kali ganda populasi negara itu.
“Dompet kita tidaklah sebesar itu,” katanya.
Malaysia ketawa apabila mendengar hujah dompet kita kecil. Cis, berani kau memperkecilkan dompet Malaysia yang berat sehingga melorot tertanggal sebelah seluar menampakkan celana dalam. Kemudian, menteri celup keju itu berusaha meyakinkan Malaysia, yang kerajaan sedar ada pihak yang mempersoalkan penerimaan vaksin tersebut pada suku pertama tahun hadapan susulan Singapura menjadi negara pertama di Asia menerima vaksin buatan Pfizer-BioNTech.
Kata menteri sains celup keju itu cuba meyakinkan; “Kita tidak terlalu cepat tetapi bukan perlahan sangat”. Tidak cepat tetapi tidaklah perlahan, adalah satu jenaka keju. Tidak cepat dan tidaklah perlahan menyebabkan kita selalu tewas dalam permainan hoki.
Astaga, dia tidak tahu apa rasa Malaysia tumpas di tangan Singapura dalam hal vaksin celup keju ini. Menurut menteri, Singapura telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal lebih awal berbanding Malaysia. Ya itulah yang Malaysia sedihkan. Dompet kita besar pada Kabinet terdiri daripada 70 anggota. Semua mereka celup keju.
Pembangkang tidakkah membantah hal dompet ini? Oh mereka duduk atas keju, dan cuba bangun 27 kali setelah itu.
Malaysia jadi lebih musykil apabila 1.2 juta dos vaksin Covid-19 buatan Sinovac sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabagsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 7 Disember 2020. Sungguh singkong sekali! Presiden Joko Widodo melalui penstriman secara langsung di laman YouTube Sekretariat Presiden berkata pihaknya menjangka mendapat lagi 1.8 juta dos vaksin Covid-19 pada awal Januari depan.
Vaksin Sinovac buatan China antara enam vaksin yang bakal digunakan.
Sangat-sangat musykil ialah antara Malaysia, Abah sudah mengumumkan akan menjadi antara individu pertama menerima vaksin celup keju ini. Konon, ia langkah untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh adalah selamat dan berkesan.
Abah, tahukah bahawa keyakinan Malaysia sudah lama terhakis apabila daging lembu yang dijamah selama ini adalah daging kanggaru?
Lebih jenaka keju ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, menawarkan diri menjadi orang pertama di Malaysia untuk menerima vaksin celup keju ini. Alasan beliau ialah, menyifatkan dirinya sebagai “panglima perang”. Selain Kinabatangan, Pasir Gudang, turut menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan parlimennya untuk menerima suntikan berkenaan.
Bukan main, halo bila ada vaksin celup keju, politikus berlumbaan menawar diri. Malaysia dibiar membahas apakah kayu hoki celup keju itu patut berbulu atau dicukur licin bulu?
Yang mana kesimpulan dari perbahasan itu ialah kita semua terpaksa akur, kayu hoki juga tetap menang. Bahawa Malaysia akan lebih tertarik oleh kayu hoki celup keju. Sebab kayu hoki celup keju lebih lazat berbanding misalnya, keropok lekor celup keju.
Juga, Malaysia tidak akan apa-apa makan daging kanggaru (boleh sahaja celup atau tidak celup keju), tetapi Malaysia konon harus sangat berhati-hati dengan vaksin celup keju.
Yang semua tidak tahu ialah Malaysia tidak tahan bila Singapura sudah lebih dahulu. FMT