Pemuda lemas dihanyut arus deras ketika berkelah

Kegembiraan 10 rakan berkelah di Sungai Jin, Sungai Lembing di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas akibat dihanyutkan arus deras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata Ahmad Hasrul Hisyam Ahmad Fauzi, 33, dari Sungai Isap, dipercayai lemas sekitar 3 petang kira-kira dua jam selepas dia bersama rakannya tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai telah berenang ke kawasan lubuk yang agak dalam sebelum dihanyutkan arus. Saksi kejadian mendakwa melihat mangsa tenggelam timbul beberapa kali sebelum hilang.

“Rakan mangsa difahamkan cuba membantu namun gagal menyebabkan mereka terus menghubungi pihak berkuasa,” menurutnya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dijumpai pada 6.48 petang dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 16 pegawai dan anggota polis serta bomba selain dibantu tujuh orang awam.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker