Anwar hargai campur tangan Hamid tangguh soal siasat Guan Eng
Tindakan polis memanggil Lim Guan Eng untuk memberi keterangan sehari sebelum Krismas mendedahkan pasukan keselamatan itu kepada persepsi negatif seperti berpihak atau berdendam, kata Anwar Ibrahim.
Pun begitu kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan campur tangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berjaya mengelak pandangan negatif berkenaan daripada masyarakat.
“Tindakan Abdul Hamid meminta maaf kepada Lim atas kesilapan pegawainya juga mencerminkan kepemimpinan polis yang peka terhadap pendapat dan perhatian orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Lim sepatutnya diminta memberi keterangan kepada polis Pulau Pinang hari ini berhubung dua kenyataan media yang dikeluarkannya pada 2019. Setakat ini bagaimanapun tidak dapat dipastikan kenyataan media mana yang dimaksudkan polis.
Untuk rekod pada 2019 ahli parlimen Bagan itu berkhidmat dalam kerajaan PH sebagai menteri kewangan.
Polis tangguh siasatan, Ketua Polis Negara minta maaf, kata Guan Eng
Bagaimanapun pemilihan masa yang dibuat polis itu – disindir sebagai hadiah sempena Krismas – dirasakan kurang wajar dan dianggap tekanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke atas pembangkang.
Bagaimanapun semalam polis memberitahu mereka menjadualkan semula pertemuan dengan Lim kepada tahun depan hasil campur tangan Abdul Hamid.
Peguam Lim, Gobind Singh Deo berkata Abdul Hamid menghantar pesanan teks kepadanya dengan meminta maaf atas kekhilafan pegawainya.
Kata Anwar pihaknya bukan meminta Lim diberikan layanan istimewa sebaliknya menuntut agar kedaulatan undang-undang dilaksanakan secara wajar.
“Tidak ada alasan yang masuk akal untuk menyeret Lim untuk disoal siasat selama berjam-jam pada malam Krismas ketika perayaan itu akan diraikannya.
“Banyak yang perlu dilakukan lagi untuk mengembalikan keyakinan awam ke atas pihak berkuasa negara,” katanya.
Tambah Anwar tindakan yang ditunjukkan Abdul Hamid itu merupakan langkah awal yang baik untuk mengukuhkan kepercayaan orang ramai kepada polis.
“Saya memuji Ketua Polis Negara atas campur tangannya menjadualkan semula sesi soal siasat ke atas Lim,” katanya. Mk
You must be logged in to post a comment.