Minum racun selepas tikam kekasih

Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menikam teman wanita berusia 58 tahun menyebabkan mangsa mengalami cedera parah sebelum minum racun dalam usaha membunuh diri.

Chong Lai Ann, 46, mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Bagi tuduhan pertama, Chong didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap kekasihnya, Hin Sak Wah, dengan menggunakan pisau.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.



Difahamkan Hin kini masih berada dalam keadaan koma di Hospital Serdang, Selangor.

Chong juga didakwa atas tuduhan kedua, cuba membunuh diri dengan minum racun yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Tuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Kinrara 6B, pada 4.24 petang, 12 Dis lepas.



Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan pertuduhan pertama dihadapi tertuduh adalah kes yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah yang menerima hujahan itu menetapkan 18 Jan depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. Bernama

Bapa tikam bayi perempuan 20 bulan ditahan polis



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker