Zoom Siar Majlis Pengebumian
Mendepani pandemik Covid-19 ketika berada jauh dari tanah air pasti memberi kesan amat besar kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana tuntutan kehidupan.
Apatah lagi menetap di Zurich, Switzerland yang disifatkan antara bandar termahal di dunia dengan kos bulanan bagi individu bujang dianggarkan lebih 1,499 Swiss Franc atau sekitar RM6,900.
Bagi ahli farmasi, Mohamad Fauzi Zakaria, 47, yang menetap lebih 10 tahun di bandar itu, soal kewangan bukanlah masalah utama yang dibimbangkan di kala pandemik menyerang.
“Sebelum mendapat permit sebagai pemastautin tetap, kerajaan Switzerland akan menganalisis pendapatan bulanan yang diterima sama ada mencukupi atau tidak untuk menetap di sini.
“Setiap penduduk juga diwajibkan mempunyai insurans untuk perlindungan diri. Menerusi insurans itulah sebarang kos hospital mahupun untuk ujian saringan Covid-19 atau kemalangan adalah ditanggung. Saya sendiri membayar insurans keluarga berjumlah 6,000 Swiss Franc (RM27,444).
“Malah, mengikut undang-undang negara itu, insurans harus melindungi pendapatan pekerja di mana jika berlaku potongan gaji, 80 peratus daripada gaji tetap akan dibayar semula,” katanya yang berasal dari Terengganu ketika dihubungi Harian Metro.
Baginya, situasi yang lebih memberi kesan dalam dirinya sepanjang tempoh pandemik ini adalah kematian tidak terduga rakan senegara.
“Itulah kali pertama saya dan rakan Melayu di sini turut serta dalam proses pengebumian di Switzerland pada 4 Ogos lalu. Arwah adalah rakan rapat saya dan jenazahnya terpaksa dikebumikan di perkuburan Muslimische Friedhof Witikon, Zurich ekoran pandemik Covid-19.
“Keluarganya juga bersetuju jenazah dikebumikan di sini memandangkan tempoh masa untuk membawa pulang ke Malaysia agak lama dan perlu melalui beberapa prosedur. Ketika pengebumian, aplikasi Zoom digunakan agar keluarga arwah di Malaysia dapat melihat proses pengebumian itu.
“Sampai ke hari ini, saya tidak dapat membayangkan bagaimana jika terjadi situasi itu pada saya dan keluarga,” katanya.
Nasib serupa seperti perantau yang lain, Mohamad Fauzi dan keluarga juga tidak pulang ke Malaysia disebabkan perlu berdepan tempoh kuarantin yang lama dan risiko penularan Covid-19.
Berkongsi pengalaman di Switzerland, katanya, situasi wabak itu agak membimbangkan memandangkan negara terbabit mempunyai jumlah tertinggi Covid-19 mengikut nisbah populasi iaitu melebihi 400,000 kes berbanding hanya 8.5 juta penduduk.
Walaupun begitu, peningkatan ribuan kes jangkitan Covid-19 setiap hari, Mohamad Fauzi berkata, keadaan masih terkawal dengan pematuhan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Anak sulung saya, Ain Nurdini, 20, yang kini berada di tahun kedua dalam Sarjana Falsafah Fizik di Universiti Sheffield, United Kingdom (UK) belajar secara dalam talian manakala anak bongsu, Azzim Zufri, 10, bersekolah seperti biasa di sekolah tempatan di Zurich.
“Sistem dilaksanakan kerajaan Switzerland membuatkan saya yakin untuk menghantar anak ke sekolah. Antaranya, guru wajib memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan penyediaan ruangan mandi murid sebelum pulang ke rumah.
“Penetapan hanya sekolah rendah dibuka oleh kerajaan itu disebabkan murid bawah 12 tahun tidak boleh belajar secara dalam talian dan memerlukan pemantauan. Pemantauan setiap masa ini sukar dicapai ibu bapa yang bekerja dan kerana itu kerajaan membuka sekolah semula yang dianggap langkah yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.
Difahamkan, dianggarkan terdapat seramai 400 rakyat Malaysia menetap di Switzerland dengan 200 daripada mereka bekerja dalam bidang profesional.
Menurutnya, jika sebarang SOP Covid-19 tidak dipatuhi individu akan berdepan denda maksimum 10,000 Swiss Franc (RM45,741).
“Pembelian panik juga berlaku di sini pada awal pandemik Mac lalu sehinggakan stok barangan di pasar raya hampir habis.
“Malah, pelitup muka juga dijual dengan harga tinggi sehingga 40 Swiss Franc (RM182.9) sekotak (100 keping) berbeza dengan harga sekarang iaitu hanya sembilan Swiss Franc (RM41),” katanya.
Kini, dia yang memegang jawatan pengarah bersama di sebuah syarikat biofarmaseutikal dalam rawatan kanser di Zurich bertugas dari rumah dan adakala perlu keluar membuat lawatan di pusat rawatan di sekitar Eropah.
“Pengangkutan utama saya adalah tren dan bas ke tempat kerja. Kereta pula hanya digunakan untuk keluar membeli barangan dapur atau bersiar-siar dengan keluarga,” katanya lagi.
Walaupun jauh dari tanah air, Mohamad Fauzi berkongsi, setiap hari dia mengikuti perkembangan sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook (FB).-HM