Hormati kedudukan BN sebagai parti terbesar berhubung agihan kerusi, kata Annuar

Kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dihormati dalam rundingan pengagihan kerusi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab terhadap sebarang rundingan berhubung isu agihan itu, selagi prinsip perjuangannya dihormati.

“Kita mahu parti (dalam PN) hormat kedudukan kita sebagai sebuah parti yang bukan sahaja lama, tapi juga besar dan memberikan kita peranan yang bersesuaian dengan kedudukan kita.

“BN akan terus lakukan libat urus dengan banyak lagi pihak menjelang PRU15, mengambil sikap keterbukaan dengan banyak parti politik terutama 12 parti politik dalam gabungan kerajaan PN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan agung Parti IPF ke-28, di Dewan Tan Sri Haji Ghazali, Slim River di sini, hari ini.

Annuar berkata, rundingan mengenai agihan kerusi dalam BN telah selesai, manakala di peringkat Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada parti itu sendiri, PPBM dan PAS belum lagi selesai.

“Dengan MN belum 100% selesai, selagi belum PRU15. Tapi sekurang-kurangnya dari segi prinsip asal MN ada kesepakatan, cuma kita belum mulakan rundingan terperinci dengan PPBM,” katanya.

Pada 14 Dis lalu, Annuar berkata BN bersetuju supaya rundingan bersama PPBM disegerakan, bagi mencapai kata sepakat berhubung kerusi yang akan ditandingi, manakala dua rundingan antara UMNO bersama PAS mencapai tahap kesefahaman 60 hingga 70%

Selain itu, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berharap, pihak yang tidak mempunyai autoriti tidak membuat kenyataan berhubung isu pembahagian kerusi bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Mengenai cadangan penyertaan IPF sebagai rakan komponen BN, Annuar berkata, selagi tiada konsensus dalam kalangan parti komponen BN untuk menerima ahli baharu, maka IPF akan terus menjadi “Friends of BN”.

Namun katanya, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak untuk memberi peluang kepada IPF bertanding di mana-mana kerusi sekiranya ia mempunyai prospek cerah bagi memberi kemenangan di kawasan terbabit.

“Walaupun IPF tidak jadi ahli (BN) jika ada tempat sesuai, ada prospek bawa kemenangan kepada kita, tidak ada masalah untuk kita berkompromi dan berikan kerusi kepada parti itu, yang penting persefaham,” katanya. FMT

Bersatu dijemput bincang agihan kerusi selepas rundingan Umno-Pas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker