Saya sentiasa ingat pesan bonda – Najib

“Saya sentiasa ingat pesan bonda supaya menjalankan kerja dengan penuh dedikasi dan menjaga nama baik keluarga walaupun dalam politik tidak dapat dielak kecaman.

“Kebenaran akan muncul lambat laung, InsyaAllah,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung bondanya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Jenazah Tun Rahah yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, semalam, selamat disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini, 3.45 petang hari ini.

Allahyarhamah adalah isteri Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.



Najib yang juga anak lelaki sulung daripada lima beradik berkata, banyak memori indah bersama arwah yang tidak akan dilupakan termasuk ketika kali pertama beliau menyatakan hasrat menceburi bidang politik pada usia hampir 23 tahun.

Beliau berkata, walaupun masih muda namun bonda memberikan sokongan, kasih sayangnya dan sepenuh kepercayaan terhadap setiap keputusan yang dibuat.

“Bonda saya adalah seorang yang cukup penyayang, baik hati dan mendidik kami lima beradik sehingga mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Bonda juga tonggak kepada keluarga kami walaupun Tun Razak tiada, tapi bonda menjadi tempat tumpuan kami.



“Kehidupan selama 87 tahun sudah dilalui bonda dan menyaksikan semua anaknya membesar serta merasai kepuasan atas apa kami lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai istiadat pengebumian negara, hari ini.

Najib berkata, meskipun sukar dan sedih dengan kehilangan seorang ibu tetapi keluarga reda dengan ketentuan Ilahi.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang menganugerahkan istiadat pengebumian negara kepada Tun Rahah dan ia adalah penghormatan teristimewa.



“InsyaAllah, keluarga akan buat tahlil selama seminggu di Masjid Ar-Rahah. Saya persilakan semua yang sudi datang,” katanya.

Allahyarhamah meninggalkan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamad Nizam, Datuk Mohamad Nazim dan Datuk Mohamad Nazir. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker