Aiman Tino dikongkong ibu bapa?

KUALA LUMPUR: Keinginan bertukar genre muzik begitu meluap-luap dalam diri. Enggan namanya hanya dikenali sebagai penyanyi lagu ‘tangkap leleh’, penyanyi Aiman Tino, 22, mahu melakukan anjakan dalam kerjaya nyanyiannya.

Bagaimanapun, malangnya, Aiman terpaksa menangguhkan hasrat untuk beralih ke genre muzik baru seperti yang diumumkan, baru-baru ini.

Katanya, bukan tidak yakin percaturannya, tetapi enggan terburu-buru. Selain terikat dengan syarikat rakaman, tindakan mempertahankan genre sama atas nasihat orang tua.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci menafikan, orang tuanya mengongkong pilihan atau mencampuri urusan kerjaya seninya.

“Saya pernah memberitahu mahu mencuba genre baru lebih segar. Selepas melihat rakan seangkatan menyerlah dengan genre muzik baru yang sesuai dengan usia mereka, saya juga mempunyai keinginan yang sama.

“Bagaimanapun, saya merasakan masih belum masa beralih arah atas nasihat orang tua selepas dipertimbangkan semula. Buat masa ini, biarlah saya terus mempertahankan genre yang sama.

“Ibu bapa tidak mengongkong, malah saya sendiri memutuskan perkara ini. Bagi saya, apa pun genre lagu yang dinyanyikan, saya akan menghargainya,” katanya yang sudah menyiapkan rakaman untuk lagu baru yang masih belum mempunyai tajuk.

Sebelum ini, Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri mula mencuri perhatian khususnya golongan remaja pada 2017 menerusi lagu Ku Rela Dibenci hingga lagu berkenaan berjaya meraih 21 juta penonton di saluran YouTube.

Berkongsi mengenai kerjaya seni, anak muda berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu mengakui, sedikit sebanyak kerjaya seninya agak terjejas berikutan pandemik COVID-19. Namun, tetap bersyukur ruang rezeki belum pernah putus, setakat ini.

Malah, katanya, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baharu dan ada ketikanya, seronok menjalani kehidupan seperti hari ini.

“Perjalanan kerjaya agak perlahan berbanding awal tahun ini. Tetapi, saya yakin semua orang terjejas, bukan saya sahaja. Namun, Alhamdulillah, kerjaya nyanyian tidak pernah putus dan kebanyakannya berlangsung dalam suasana norma baharu.

“Ada ketikanya seronok juga kebanyakan kerja dilakukan dalam talian, tetapi ada masanya, rindu hendak bertemu dengan rakan seperjuangan dan mengadakan persembahan di khalayak ramai. Biarpun kerjaya seni agak perlahan, saya tetap bersyukur ruang mencari rezeki sentiasa ada.

“Selain menyanyi, saya menerima tawaran sebagai pelakon. Pada mulanya, niat sekadar mencuba, tetapi lama-kelamaan timbul rasa seronok. Bagaimanapun, berbanding nyanyian, lakonan agak memenatkan kerana menuntut masa lama di lokasi penggambaran. Tetapi, apabila dapat berjumpa dengan pelakon dan kru, rasa penat hilang serta merta,” katanya kepada BH Online.

 

Aiman Tino membuka kedai makan, AT Char Kuey Teow di salah sebuah medan selera, pusat membeli belah yang terletak di Wangsa Maju, sejak dua minggu lalu. - Foto NSTP
Aiman Tino membuka kedai makan, AT Char Kuey Teow di salah sebuah medan selera, pusat membeli belah yang terletak di Wangsa Maju, sejak dua minggu lalu. – Foto NSTP

 

Artis Kontroversi Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu berkata, dia terpaksa beralih tumpuan kepada dunia perniagaan, ketika ini. Mengharapkan nyanyian, undangan persembahan dan konsert masih tersekat-sekat disebabkan pandemik COVID-19.

Memegang prinsip, hidup tidak boleh menunggu, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu berkata, dia kini beralih tumpuan dengan dunia perniagaan.

Aiman membuka kedai makan, AT Char Kuey Teow di salah sebuah medan selera di pusat membeli belah yang terletak di Wangsa Maju, sejak dua minggu lalu.

Dunia perniagaan bukannya asing buat Aiman sejak kecil, malah keluarganya mengusahakan perniagaan kedai makan sejak dahulu. Aiman pula sudah terbiasa membantu orang tuanya di kedai makan.

Aiman berkata, selain bidang seni, perniagaan menjadi salah satu cabang baru untuknya mencari rezeki, sekali gus menambah pendapatan.

Katanya, resipi char kuey teow diperturunkan bapanya yang juga resipi keluarga.

“Setakat ini, saya hanya ada satu cawangan. Jika ada rezeki, saya bercadang membuka cawangan lain di medan selera milik francais pasar raya ini.

“Alhamdulillah, saya tak menyangka sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Sebelum ini, saya hanya mensasarkan 20 pinggan sehari, tetapi mencapai lebih daripada sasaran.

“Jika tidak terikat dengan kerja, saya akan berada di medan selera, setiap hari. Jika sibuk, saya minta pembantu peribadi menjenguk medan selera. Saya merancang membuka gerai di Kampung Baru, tetapi bercadang menyerahkan kepada ahli keluarga untuk menguruskan perniagaan saya,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker