Kursus kahwin bukan sekadar sembang seks



Sebaran :

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan kursus praperkahwinan Islam yang diperkenalkannya sejak 1996 gagal membimbing peserta sebelum melangkah ke alam rumah tangga sebaliknya sekadar sembang seks seperti seperti didakwa sesetengah pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, kursus tersebut sebaliknya bermatlamat memberi pendedahan ilmu kekeluargaan supaya masing-masing mengetahui hak mereka dalam perkahwinan termasuk jika berlaku perceraian.

Menurutnya, modul yang diguna pakai dalam kursus berkenan diselaraskan mengikut Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang sentiasa ditambah baik melalui Persidangan Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk setiap tahun.



“Ini kerana modul kursus ini merangkumi ilmu asas syariat Islam, prosedur perkahwinan, penceraian dan rujuk, pengurusan stress dan konflik, pengurusan kewangan, pembubaran perkahwinan serta majlis akad nikah dan walimatulurus,” katanya di sini, semalam.

Sebuah portal berita baru-baru ini membuat satu ‘pemerhatian’ terhadap kursus wajib praperkahwinan pasangan beragama Islam yang digambarkan hanya tidak lebih daripada sekadar sesi sembang seks.

Selain modul sedia ada, jelas Abdul Aziz, Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam turut disediakan bagi memastikan perkara-perkara berkaitan penganjuran dan pelaksanaan kursus dapat diselaras, dipantau dan dikawal selia dengan sebaiknya oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).



Katanya, para peserta bukan hadir kursus berkenaan sekadar suka-suka tetapi memberi ilmu tentang persediaan selengkapnya sebelum melayari rumah tangga.

Jelasnya, kursus berkenaan telah pun memanfaatkan seramai 259,383 peserta pada 2017 dan 245,377 orang pada 2018.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah Jakim menjelaskan, JAIN bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pihak-pihak yang menganjurkan kursus itu di negeri masing-masing.



“Jika benar terdapat isu-isu tertentu yang mungkin tidak menggambarkan kualiti penceramah kursus sebagaimana sepatutnya, peserta boleh membuat aduan kepada JAIN,” katanya


Sebaran :


Leave a Reply