UMNO perlu terbuka, tidak ‘rigid’ dengan slogan ‘No Anwar No DAP’, kata Puad

PETALING JAYA: Seorang pemimpin UMNO menggesa parti itu tidak perlu terlalu ‘rigid’ dengan slogan ‘No Anwar No DAP’ yang didakwanya hanya digunakan oleh beberapa pemimpin berjawatan yang tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi berkata, slogan itu dilihat tidak relevan sepanjang masa dan harus disesuaikan dengan senario politik yang berubah-ubah.

“Benar, ‘No Anwar No DAP’ adalah keputusan MKT UMNO. Annuar Musa (Ahli Parlimen Ketereh) guna slogan ini untuk pertahan Perikatan Nasional (PN).



“Sebagai ahli MKT, saya pula tidak mahu UMNO terlalu rigid,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengambil contoh kerjasama politik antara DAP-PKR-PAS suatu ketika dahulu sebagai gambaran keadaan politik yang berubah-ubah.

“Dulu, siapa terfikir PAS bergabung dengan DAP. Siapa terfikir Muslimat PAS julang bendera roket semasa PRU dan PRK.

“Siapa terfikir Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bergabung dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO?,” soalnya.



Justeru, beliau menggesa UMNO supaya bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti.

“DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar UMNO dalam Parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin.

Slogan Ubah Balik Jadi Mantera Kempen BN



“Tidak dinafikan ada akar umbi UMNO yang keliru. Tetapi mereka juga keliru bila ada pemimpin UMNO yang berunding dengan Mahathir dan Azmin Ali tanpa pengetahuan MKT.

Puad berkata, slogan itu turut diguna pakai oleh PPBM untuk menyerang UMNO.

“Pemimpin PPBM tumpang semangkuk guna slogan “No Anwar No DAP” untuk serang UMNO. Sejujurnya mereka takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama itu.”

Beliau berkata, UMNO mesti berani mempelopori kerajaan perpaduan dengan memulakannya di Perak, memandangkan parti itu mempunyai pengalaman luas mentadbir negara dengan suhu perkauman yang sentiasa memuncak.



“Maka apakah dengan pengalaman itu tiba-tiba UMNO rasa takut dan lekeh untuk urus kerjasama dengan sesiapa, hatta DAP. Yang penting kemampuan, kebijaksanaan, ketegasan, konsensus dan kejujuran politik.

“Justeru UMNO Perak wajar diberi peluang bentuk kerajaan perpaduan tanpa perlu gabungan parti politik yang rigid.

“Ia pembuka jalan. UMNO pun bukan ahli PN. MN juga belum daftar,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, semenjak parti itu menyokong pembentukan kerajaan baru pimpinan Muhyiddin Yassin, politik bangsa Melayu terus berantakan.



Mohamad Hasan.

“Rakyat kebanyakan sangat bosan, muak dan jelik dengan pelbagai kenyataan, perlakuan dan pertembungan ahli politk bangsa Melayu terutamanya.

“Semua ini tidak menguntungkan bangsa. Semua ini meletakkan bangsa Melayu pada kedudukan yang lemah dan tanpa haluan yang jelas.

“Mungkin yang diperlukan oleh bangsa Melayu bukan lagi gagasan. Tetapi pencerahan tentang jalan bagaimana bangsa Melayu akan jadi lebih baik dan maju,” katanya.

“Mungkin tiba masanya kita tutupkan riwayat lama, bukakan lembaran baru. Baik hentikan termenung gundah gulana kerana apalah gunanya lama terharu.”



Beliau mengulas kentataan pemimpin PPBM yang mencadangkan sebuah gabungan besar dibentuk membabitkan PN, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, gabungan baru itu bertujuan memastikan kesinambungan persetujuan tidak rasmi yang dicapai oleh parti-parti berkenaan ketika mengambil alih pentadbiran Putrajaya berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada Feb lepas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker