Persona non grata akan diisytihar kepada penjenayah warga asing – KP Imigresen
KUALA LUMPUR: Warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai ‘persona non grata,’ kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata warga asing terbabit akan disenaraikan sebagai persona non grata selepas mereka menjalani hukuman dan diusir dari negara ini.
“Selepas mereka menjalani hukuman penjara akibat kesalahan jenayah, mereka akan diusir dan disenaraikan sebagai imigran larangan daripada memasuki Malaysia.
“Itulah keputusannya untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen (1959) tanpa mengira jenis pas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama.
Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.
Turut senada dengan Khairul Dzaimee ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berkata langkah mengisytiharkan penjenayah warga asing sebagai persona non grata merupakan antara cara berkesan bagi mengekang kegiatan jenayah terutama Sindiket Macau Scam.
“Sindiket Macau Scam di negara ini semakin berleluasa dengan ramai mangsa tertipu melibatkan kerugian jutaan ringgit yang dilakukan warga China.
“Baru-Baru ini, saya ada berbincang dengan beliau (Khairul Dzaimee) berhubung perkara ini dan kuasa untuk mengisytiharkan persona non grata terletak kepada Imigresen untuk melaksanakannya,” katanya ketika kunjungan hormat Bernama ke pejabat beliau di Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Abdul Hamid berkata warga China paling takut disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia kerana mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan kegiatan jenayah malah bakal berdepan hukuman berat di negara asal.
— BERNAMA