Hamzah tak perlu cari bukti, Hasnul akui tanda tangan SD sokong Saarani

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim akui menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Ujarnya, SD itu ditandatangani beliau pada hari sama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan kepercayaan majoriti ADUN pada persidangan DUN Perak, 4 Disember lalu.

Tegasnya, tiada keperluan untuk Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mencari segala bukti berkait sokongan beliau terhadap Saarani.

“Pengakuan saya ini adalah untuk meredakan ketegangan antara dua parti, Bersatu dan juga UMNO. Setiausaha Agung Bersatu dalam kenyataannya semalam beliau akan menunggu bukti daripada UMNO, yang akan menunjukkan bahawa saya menyokong Datuk Saarani.

“Pada saya, tak perlu sampai menunggu UMNO memberi bukti, saya hari ini mengaku secara rasmi, saya memang tanda tangan SD (sokong) Datuk Saarani.

“Saya percaya akhirnya semua YB daripada PN pun akan memberi sokongan yang sama kepada Datuk Saarani tu. Saya tandangan itu kerana saya rasa semua YB termasuk UMNO pada akhirnya akan tanda tangan, walaupun berlaku sedikit kelewatan,” katanya kepada Astro AWANI.

Pengakuan dibuat beliau itu sebagai reaksi kepada laporan Bernama semalam yang memetik Hamzah sebagai berkata keahlian Hasnul Zulkarnain akan gugur secara automatik jika terbukti tidak menyokong usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam persidangan DUN 4 Disember lalu.

Hasnul Zulkarnain bagaimanapun enggan mendedahkan undian beliau sewaktu proses pengundian usul itu berlangsung.

“Saya tidak diberi ruang oleh Bersatu sama ada di peringkat negeri atau bahagian untuk terlibat secara langsung dalam gerak kerja parti politik.
“Itu menggambarkan saya seolah tidak diperlukan dalam parti Bersatu,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan segala keputusan di peringkat parti berkait keahlian beliau dalam Bersatu.

Hasnul Zulkarnain menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu. Sebelum itu, beliau merupakan wakil rakyat Bebas selepas meninggalkan Amanah pada 9 Mac susulan penjajaran politik di Perak yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH).

Leave a Reply