RM50 juta? Pulau Pinang Tidak Akan Bayar!

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan tidak akan membayar tuntutan RM50 juta caj sumber air mentah setahun seperti dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor semalam.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, ini kerana penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri ini adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menuntut pampasan daripada kerajaan Pusat kerana menggazetkan Hutan Simpan Kekal Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air sekali gus tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.



Jelas beliau, keputusan Kerajaan Negeri Kedah menggazetkan hutan itu dapat memastikan tiga negeri di wilayah utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis mendapat bekalan air.

“Kita tidak akan bayar (RM50) juta seperti diminta Kedah kerana kita guna air dari Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang dan sejajar dengan hak antarabangsa tentang air dan undang-undang negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhammad Sanusi yang menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

Menurut Muhammad Sanusi, Kerajaan Negeri Kedah sudah banyak kali menghantar surat untuk meminta bayaran berkenaan kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.



Tuntutan Muhammad Sanusi itu dibangkitkan sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa yang menggesa Kerajaan Negeri Kedah menghentikan hasrat melombong mineral nadir bumi (REE) di Sik dan Ulu Muda, Baling.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyifatkan tuntutan Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang tersebut adalah tidak berasas sebaliknya perlu dibuat kepada kerajaan Pusat khususnya berkaitan soal pampasan.

Malah kata beliau, isu itu juga sepatutnya dibincangkan di peringkat Persekutuan khususnya melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Majlis Air Negara.

“Isu ini juga saya bangkitkan dalam pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pada Oktober lalu selain isu bekalan air dari Perak ke Pulau Pinang.



“Sepatutnya inilah platform yang sewajarnya digunakan untuk menangani isu-isu melibatkan negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker