Foodpanda lancarkan Pandamart



Foodpanda Malaysia secara rasminya melancarkan perkhidmatan penghantaran barang runcit terbarunya, Pandamart – perkhidmatan penghantaran atas permintaan untuk barangan runcit, barang keperluan isi rumah, produk kecantikan dan ubat-ubatan yang dihantar terus dari kemudahan simpanannya.

Pengarah Dark Store Foodpanda Malaysia, Ashutosh Gandhi berkata Pandamart pertama telahpun beroperasi dalam talian sejak Julai tahun ini.

Beliau berkata Pandamart menawarkan lebih daripada 3,500 jenis produk untuk memenuhi keperluan harian meliputi 100 jenama antarabangsa dan tempatan.

“Sama ada anda memerlukan roti dan telur segar untuk sarapan pagi, ayam atau sayuran segar untuk makan tengah hari, mi atau sos untuk makan malam atau lampin atau susu formula untuk bayi anda, semua ada di Pandamart.

“Pandamart membolehkan kami memberikan kemudahan selesa kepada pelanggan yang keperluan mereka kerap berubah,” katanya semasa pelancaran maya hari ini.




Pada masa ini, kedai serbaneka dalam talian itu membuat penghantaran dalam lingkungan 25 lokasi di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Semua produk diperoleh secara terus daripada jenama yang tersedia dan oleh itu, harganya sangat kompetitif dan kualiti produk terjamin, kata beliau.

“Kami mungkin akan membuka lebih banyak Pandamarts di Seremban, Ipoh dan Johor serta Sabah/Sarawak tahun depan,” kata Ashutosh.

Pandamart tersedia di aplikasi Foodpanda, di bawah halaman kedai Foodpanda apabila lokasi pelanggan menunjukkan bahawa mereka berada dalam liputan Pandamart.

Pandamart menawarkan penghantaran percuma untuk empat bulan pertama pembukaan setiap Pandamart baharu, dan untuk tempoh berikut, caj penghantaran adalah antara RM1 hingga RM2.




Ashutosh berkata, Pandamart menggunakan perdagangan pantas – e-dagang generasi seterusnya, yang menyediakan penghantaran cepat, sepantas 20 minit selepas pesanan dibuat di aplikasi.

Beliau berkata ketika platform memasuki era perdagangan cepat seiring dengan perubahan gaya hidup dan pilihan pengguna di seluruh dunia, kecepatan dan kemudahan menjadi lebih penting berbanding sebelumnya.

“Di Foodpanda, kami terus mencari cara untuk menggunakan inovasi dan teknologi untuk memenuhi jangkaan dan harapan pelanggan kami,” tambahnya. BERNAMA

[VIDEO] Gigih Hantar Pesanan Mengayuh Basikal, ‘Rider’ Foodpanda Ini Kekal Semangat Sebab Pernah Cuba Diragut



Leave a Reply

Your email address will not be published.