Parlimen: Kerajaan sedang kaji kesesuaian laksana semula GST atau model cukai kepenggunaan lain



Sebaran :

Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan semula sistem Cukai Barang and Perkhidmatan (GST) atau apa-apa model cukai kepenggunaan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata ini juga akan mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekarang, serta kelemahan GST yang dilaksanakan pada 2015.

Jelasnya, kajian tersebut akan meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.



“Cukai baharu perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) sama ada kerajaan Perikatan Nasional akan melaksanakan semula cukai GST ataupun cukai kekayaan (wealth tax) untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Berhubung cukai kekayaan, Mohd Shahar berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melaksanakan cukai kekayaan pada masa ini.



Beliau juga berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang langkah baharu berhubung cukai sekiranya ia akan membebankan rakyat.

“Kita melihat bagaimana kaedah-kaedah lain seperti mana yang telah dibentangkan Menteri Kewangan semasa Belanjawan 2021, dengan memantapkan pematuhan percukaian dan perkasakan agensi pelbagai bidang yang dinamakan ‘multi agency taskforce’.

“Kalau kita wujudkan cukai baharu, ia hanya meningkatkan hasil, tetapi apabila membebankan rakyat, ini tidak memberi kesan,” kata beliau.



Sementara itu, Mohd Shahar berkata dalam usaha pemulihan ekonomi, kerajaan optimis dengan pertumbuhan 5.5 peratus ke 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.

“Jika melihat kepada pertumbuhan KDNK yang menguncup 17.1 peratus pada suku tahun kedua tahun ini tetapi meningkat kepada -2.7 peratus pada suku ketiga, ini adalah impak daripada pakej rangsangan yang kita sedang laksanakan,” kata Mohd Shahar.

Pakej-pakej yang diumumkan kerajaan ialah PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion.



“Kita mesti bersama-sama pastikan keadaan ekonomi negara pulih melalui lulusnya Belanjawan 2021 sehingga peringkat jawatankuasa, kerana inilah langkah yang kelima sebelum kita melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada Januari 2021,” tambah beliau. BERNAMA


Sebaran :


Leave a Reply