Toyol jahat, 3 kali pecah tabung masjid

Sekinchan: “Dalam tempoh enam hari sahaja, tiga kali masjid ini dipecah masuk pencuri. Namun hanya sekali duit tabung masjid dan anak-anak yatim dilarikan,” ujar Nazir Masjid At-Taufiqiah, Parit 4 di sini, Arshad Ramli berhubung kes curi di masjid berkenaan yang tular di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 2 Disember lalu apabila pihaknya menyedari cermin pintu gelongsor bahagian belakang masjid berkenaan pecah dan dua tabung iaitu tabung anak-anak yatim serta tabung masjid dikopak.

“Dua tabung itu berjaya dikopak oleh individu tidak bertanggungjawab namun duit di dalamnya gagal diambil susulan tabung itu mempunyai dua mangga iaitu di bahagian luar dan dalam.

“Keesokan harinya (3 Disember), masjid ini sekali lagi dipecah masuk. Kali ini, individu itu berjaya mengopak tabung masjid dan melarikan wang berjumlah RM 150,” katanya tadi.

Arshad berkata, kejadian sama kembali berulang pada 7 Disember lalu apabila tabung utama masjid itu menjadi sasaran dan pemutar nombor rahsia dipecahkan, namun tidak dapat dibuka.

“Kalau sebelum ini penjenayah masuk melalui pintu gelongsor di bahagian belakang masjid namun kali ia dia masuk melalui jeriji pintu masuk utama ruang solat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat tiga laporan polis susulan kejadian itu dan mengambil tindakan menggantikan pintu gelongsor dengan membina dinding serta memasang jeriji besi di kawasan berisiko.

“Kami sudah membelanjakan sebanyak RM 1,500 bagi pembinaan dinding bagi menggantikan pintu gelongsor dan RM 1,100 untuk jeriji besi baharu.

“Harap kejadian seperti ini tidak berulang kembali, lebih-lebih lagi ia berlaku di dalam rumah Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Kita mengesyaki ia dilakukan penagih dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya ketika dihubungi, semalam. HM

Fitnah Jahat Malaysiakini Terhadap Institusi Diraja Johor

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker